Kenapa enggan sokong RUU Kawalan Tembakau?

- Advertisement -

HARI ni saya duk baca beberapa kenyataan berkaitan Akta Kawalan Tembakau yang akan dibentangkan nanti. Ada Ahli Parlimen yang dah nyatakan tak nak sokong RUU Kawalan Tambakau 2022 ini yang menyekat generasi muda hisap rokok atau vape. Kononnya kerajaan akan rugi tak dapat cukai jual rokok dan rokok seludup akan berlambak nanti.

Saya kesal dan sedih. Adakah depa nak anak muda kita cepat mati ke semata-mata nak kaya industri rokok dan vape?

Menurut Tinjauan Morbiditi Kebangsaan yang dijalankan pada 2019 peratusan merokok dalam kalangan remaja berumur 18 tahun (iaitu umur selepas undang-undang tidak melarang mereka merokok) adalah tinggi. Dianggarkan sebanyak 24.49 peratus remaja berumur 18 tahun berbanding dengan statistik sebelumnya (15 hingga 17 tahun) iaitu hanya 7.7 peratus merokok sahaja. 

Daripada jumlah tersebut 22.78 peratus adalah menggunakan rokok tembakau. Tengok peratus itu pun dah bimbang, hampir 1 dari 4 remaja terlibat! Lebih menakutkan apabila akhir-akhir ini timbul rokok jenis baharu seperti vape dan lain-lain.

Kajian morbiditi itu juga mendapati penggunaan vape di kalangan remaja meningkat sebanyak 7.31 peratus dari tahun-tahun sebelum ini (Remaja ambil vape 12.31 peratus tahun 2019 berbanding sebelumnya hanya 5 peratus). Puncanya adalah kita beralah dengan desakan industri vape untuk terus menjual tanpa tindakan tegas. Kenapa? Akta longgar?

Ada pula yang minta tangguhkan Generational End Game (objektif utama RUU ini) selama 3 tahun. Atas alasan, kerajaan mungkin tidak bersedia melaksanakan akta. Apa yang saya tahu, KKM sudah membuat banyak kajian sejak 2016 lagi. Persiapan dan persediaan sejak timbulnya isu vape dan peningkatan kes merokok telah pun diperkemaskan dari segenap sudut. Sekarang adalah masa yang tepat bagi pelaksanaan akta.

Nasihat saya kepada mereka yang menentang, kalau nak buying time pun, adakah kita sanggup buying nyawa? Cuba tengok fakta yang dikeluarkan oleh laporan Tobacco Atlas 2019. Fakta mendapati kematian pramatang akibat rokok adalah 27,000 setiap tahun. Jika nak tangguh 3 tahun, nyawa akan terus melayang akibat bahana asap rokok 81,000!

Cuba kita semak kembali, hasil dari peratusan merokok yang meningkat itu akan menyebabkan peningkatan kos yang ditanggung oleh kerajaan juga. Rawatan akibat komplikasi penyakit punca hasilan tembakau dianggarkan sebanyak RM8.77 bilion menjelang tahun 2030.

Bagi kos rawatan akibat penyakit EVALI (Electronic Vape Associated Lung Injury) pula dianggarkan sebanyak RM369 juta menjelang tahun 2030. Kos ini adalah kos yang minima dengan mengambil kira kemasukan pesakit EVALI ke wad selama hanya 12 hari dan anggaran ini hanya mengambil kira kadar kejadian (Incidence Rate) 0.04 peratus. (Kajian oleh Levy, 2017).

Bayangkan kalau kita masih lagi main tarik tali dari sekarang. Lagi banyak kemudaratan akan timbul. Fikir-fikirkanlah.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 26/7/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -