
SAYA telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi yang membincangkan tiga perkara utama, iaitu pengambilan pekerja asing, mengurangkan kerenah birokrasi dalam penyampaian perkhidmatan awam dan sekuriti makanan.
Bagi berdepan dengan kekurangan tenaga kerja asing yang kritikal, kerajaan telah menetapkan beberapa keputusan seperti berikut:
Pertama, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama pihak industri, persatuan perniagaan dan pihak berkenaan mengadakan pertemuan secara bersemuka bagi menyelesaikan isu-isu pengambilan pekerja asing sehingga penghujung bulan Julai ini.
Kedua, para majikan digesa untuk mempertimbangkan pengambilan pekerja asing dari negara sumber yang telah diluluskan dan tidak bergantung kepada negara sumber tradisi sahaja.
Ketiga, KSM digesa mempercepatkan pelaksanaan proses temuduga majikan dengan menambah bilangan penemu duga di One Stop Centre (OSC) mengikut zon dan negeri-negeri.
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) juga diminta mengukuhkan program MyMudah dengan menyelesaikan kes-kes kompleks dalam tempoh 60 hari.
Mesyuarat turut bersetuju agar MPC menyegerakan penubuhan Unit MyMudah bagi kementerian yang belum melaksanakannya serta penubuhan MyMudah di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam memastikan isu-isu birokrasi di peringkat tersebut dapat ditambah baik.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan diminta melaksanakan program-program berkaitan sekuriti makanan negara yang telah dipersetujui Kerajaan dengan segera.
Kerajaan sentiasa berusaha memastikan permasalahan yang dihadapi oleh pemain industri diselesaikan dengan segera melalui usaha sama oleh semua pihak bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.
DATO’ SERI ISMAIL SABRI YAAKOB
Perdana Menteri – HARAKAHDAILY 19/7/2022














