
Oleh SALMAH MAT HUSAIN|Foto RIZAL TAHIR
KOTA BHARU: Rakyat Kelantan disaran sentiasa berwaspada ekoran Covid-19 yang kini dilapor kembali merebak.
Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, peningkatan wabak itu kini semakin menular dalam negara dan ia begitu membimbangkan.
“Kerana itu kita sarankan orang ramai sentiasa berhati-hati, menjaga prosedur operasi standard (SOP) seperti sebelum ini.
“Peningkatan ini berlaku berikutan kita semakin leka dengan SOP yang ditetapkan kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini,” ujarnya ketika ditemui pada program ibadat Korban DUN Panchor di Kompleks Tarbiah Panchor dekat sini hari ini.
Sebanyak 22 ekor lembu sumbangan pelbagai pihak dikorbankan dan ia diagihkan kepada 1,200 penerima.
Menurutnya juga beliau menyokong gesaan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin supaya individu yang belum mengambil dos penggalak supaya berbuat demikian.
Kata beliau dos berkenaan boleh membantu mengurangkan simptom-simptom tertentu mereka dijangkiti Covid-19.
“Berdasarkan pengalaman kita memang ia dapat membantu dengan pertolongan Allah. Bukan tidak kena langsung tetapi ia tidak ketara berbanding mereka belum mengambil dos penggalak,” katanya.
Semalam Menteri Kesihatan menasihat individu yang belum mendapatkan suntikan dos penggalak Covid-19 segera berbuat demikian susulan peningkatan jangkitan kes Covid-19 kebelakangan ini. – HARAKAHDAILY 12/7/2022











