Keupayaan pasukan operasi perubatan Muzdalifah dipuji

- Advertisement -

BERMABIT di Muzdalifah pada malam 10 Dzulhijjah yang lepas merupakan salah satu daripada wajib Haji.

Jemaah Malaysia akan bertolak dari bumi Arafah selepas Maghrib untuk bermabit Muzdalifah sebelum bergerak ke Mina, seawal separuh malam hingga menjelang waktu subuh.

Walaupun tempoh ini agak singkat, namun pelbagai kemungkinan boleh berlaku ketika jemaah bermabit dan menanti ketibaan bas. Apatah lagi majoriti jemaah baru sahaja menghabiskan keringat berwukuf di Arafah, mengejar fadhilat dan kelebihan yang Allah janjikan.

Oleh itu, satu pasukan operasi perubatan Muzdalifah dibentuk diketuai Dr Rohisham (Pakar Perunding Anestesiologi) yang bergerak lebih awal dari Arafah bagi menyiapkan Khemah Kecemasan Muzdalifah.

Kes-kes dirujuk melalui petugas yang bertugas di maktab-maktab, ataupun melalui pasukan yang mobile yang bergerak terus kepada pesakit yang berada di dalam launtan jemaah yang bermabit.

Antara jemaah yang disantuni termasuk pesakit yang mengalami ‘heat exhaustion’ atau keletihan haba oleh kerana berwukuf ketika suhu yang menjangkau 45-50 °C, memerlukan rawatan segera dan hidrasi. 

Ada juga yang mengalami kesakitan abdomen akut, yang kemudiannya dirujuk ke Hospital Mina Al Wadi. Pesakit dibedah pada hari yang sama, terus menjalani pemulihan segera dan dihantar pulang ke maktab sebelum selesai operasi haji di Mina.

Syukur Alhamdulillah, keadaan Khemah Muzdalifah umumnya terkawal, sehingga seluruh jemaah Malaysia selesai bergerak ke Mina, sebelum terbit matahari. Petugas haji menjadi kumpulan terakhir meninggalkan bumi Muzdalifah selepas operasi Khemah Kecemasan ditamatkan.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia – HARAKAHDAILY 12/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -