Kenaikan harga lembu tidak halang sertai ibadat korban

Lembu yang terlepas seketika sebelum disembelih.
- Advertisement -

KUALA KRAI: Biarpun ramai terkesan dengan kos sara hidup sekarang, namun ia tidak menghalang umat Islam menjalani ibadat korban ketika harga ternakan melonjat di pasaran.

Harga lembu bagi setiap bahagian antara RM500 hingga RM700 bergantung kepada saiz lembu. Namun masih ramai meneruskan ibadat korban yang bermula selepas solat sunat Aidiladha pagi.

Di penempatan bekas kilang papan di Kampung Manek Urai Lama sebanyak enam ekor lembu dikorbankan. Lokasi bekas sawmil tersebut dihadiri orang ramai yang menyertai ibadat korban. Ia seumpama pesta apabila turut disertai ahli-ahli keluarga untuk menyaksikan lembu disembelih.

- Advertisement -

Paling kalut pada peringkat awal pemilik lembu terbabit apabila terpaksa memastikan senarai mereka yang menyertai ibadat korban hadir dan melakukan jual beli.

Bagaimanapun situasi gempar seketika apabila seekor bertindak agak agresif semasa lembu terbabit diheret ke tempat penyembelihan. Lembu tersebut meronta-ronta ketika tali diikat ke sebatang pokok. Akhirnya tali terlucut dan lembu tersebut melarikan diri.

Pemilik lembu terbabit dan beberapa lelaki mengejar lembu tersebut akhir berjaya ditangkap semula dan diheret semula ke lokasi penyembelihan. Insiden yang berlaku tersebut menyebabkan orang ramai yang hadir diminta beredar agak jauh untuk mengelakkan lembu menjadi liar semula.

Biarpun pelbagai rintangan berlaku, namun ia tidak menghalang ibadat korban diteruskan sehingga setiap peserta membawa balik daging untuk disedekah kepada jiran tetangga dan digulai.

Ibadat korban bukan sahaja menuntut pengorbanan wang ringgit, sebaliknya tenaga bila mana setiap peserta tanpa mengira pangkat dan kedudukan sama-sama melapah daging lembu.

Imam Masjid al Majid Kampung Manek Urai Lama Mohd Sadli Ibrahim berkata, ibadat korban mengenepikan fahaman politik, kedudukan dan kerjaya seseorang dengan sama-sama menumbang dan melapah lembu.

“Ibadat korban menuntut kerjasama dan pengorbanan semua pihak dengan melupakan perbezaan antara satu sama lain,” katanya ketika menyampaikan khutbah Hari Raya Aidiladha pagi tadi.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan aliran trafik berjalan lancar biarpun Plus menjangka kira-kira 2 juta kenderaan memasuki Lebuh Raya Pantai Timur bermula Jumaat.

Semalam aliran trafik dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu berjalan lancar kecuali ramai terperangkap di Kuala Lipis ekoran terdapat deretan lori berhampiran sebuah stesen minyak petang semalam.

Seorang kakitangan kerajaan dari Taman Melati Gombak memberitahu beliau dan keluarga terperangkap di Kuala Lipis hampir tujuh jam ekoran kehadiran banyak lori.

“Kami sampai di kampung pagi tadi selepas lama terperangkap di Kuala Lipis. Laluan di tempat lain berjalan lancar termasuk Lebuh Raya Spine Road,” katanya di sini. – HARAKAHDAILY 10/7/2022

- Advertisement -