
Oleh NUR HASMIRA MOHAMAD
KEPALA BATAS: Lajnah Pembangunan Tanah, Perumahan dan Orang Asal PAS Negeri Pulau Pinang (LPTPOA) menuntut penjelasan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berhubung status kelulusan Kebenaran Merancang (KM) pembinaan kilang di Bertam, Pulau Pinang.
Pengerusi LPTPOA, Yacoob Omar berkata, projek berkenaan melibatkan sebahagian lot 12453 (Mukim 6, Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir) oleh Tetuan Lestari Duta Sdn. Bhd untuk pembinaan 48 unit kilang berkembar 3 tingkat, 8 unit kilang sebuah 5 tingkat dan 49 unit pelot industri.
Ujarnya, pihaknya menuntut penjelasan berikutan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan notis arahan supaya menghentikan segera kerja-kerja pembersihan kerana dijalankan tanpa kelulusan EIA.
Bagaimanapun kata Yacoob, semakan pihaknya mendapati permohonan Kebenaran Merancang yang dihantar oleh Tetuan Lestari Duta Sdn. Bhd. kepada MBSP pada 14 Mac 2022 telah mendapat status ‘lulus bersyarat’ pada 12 May 2022.
“Persoalan yang berbangkit apakah syarat-syarat yang dikenakan kepada kelulusan KM tersebut?
“Bagaimana permohonan KM tersebut boleh diberikan kelulusan biarpun bersyarat sedangkan laporan EIA bagi cadangan projek tersebut masih dalam penilaian JAS?
“Adakah kelulusan KM bersyarat tersebut telah disalah guna oleh pihak pemaju untuk memulakan kerja-kerja tanah secara tidak sah?,” kata Yacoob dalam satu kenyataan.
Jelasnya lagi, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mendapati ada unsur salah guna kuasa dan rasuah untuk projek berkenaan.
JAS dalam satu hantaran di Facebook pada 13 Jun memaklumkan pihaknya sedang menyiasat kerja-kerja pembersihan tapak di Bertam selepas menerima aduan orang ramai pada 11 dan 12 Jun.
Menurut hantaran itu, aduan tersebut berkaitan aktiviti beberapa buah jentera berat yang melakukan kerja-kerja pemotongan pokok sawit di kawasan tersebut.
“Pemeriksaan di tapak telah dijalankan pada 11, 12 dan 13 Jun 2022. Hasil siasatan lanjut mendapati bahawa pembersihan tapak telah dilakukan tanpa kelulusan EIA.
“Tapak projek juga tidak mendapat kelulusan kerja tanah daripada Pihak Berkuasa Tempatan.
“Arahan di tapak serta Notis Arahan telah dikeluarkan kepada pemaju untuk menghentikan serta merta kerja-kerja pembersihan tapak sehingga semua kelulusan yang berkaitan diperolehi,” kata JAS dalam satu hantaran di Facebook.
Dalam satu hantaran lain pada 14 Jun, JAS memaklumkan pihaknya melakukan pemantauan secara berterusan di tapak berkenaan mendapati hanya sebuah jentolak berada di situ dan tiada sebarang aktiviti pembersihan dijalankan. – HARAKAHDAILY 16/6/2022











