
ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor merakam ucapan sekalung tahniah kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kedah yang mendapat keputusan cemerlang.
Beliau berkata, walau apa jua keputusan yang diperolehi perlu diingatkan ia bukanlah kemuncak dalam kehidupan sebaliknya sebagai satu permulaan.
Katanya bagi pelajar yang mendapat keputusan cemerlang, teruskan kecemerlangan dengan penuh tawaduk dan berusaha untuk mencatat pencapaian yang lebih gemilang.
“Pelajar yang tidak mendapat keputusan yang diidam-idamkan, jangan berputus asa, sebaliknya jadikan ia sebagai titik perubahan untuk menjadi lebih bermotivasi dalam segenap aspek kehidupan,” katanya pada kenyataan hari ini.
Apa yang penting kata beliau laluilah kehidupan di usia remaja secara sihat, bersyaksiah mulia, mempunyai jati diri yang mantap serta sihat fizikal dan mental.
Menurutnya perjalanan hidup masih panjang dan masih banyak peluang di hadapan sana untuk menempa kejayaan.
“Jangan sesekali lalai menunaikan solat, laluilah usia muda ke arah menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat,” tambah beliaui.
Kata Sanusi, pelajar SPM 2021 merupakan kumpulan pelajar kohort pertama Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), malah menjalani pembelajaran dalam suasana pandemik Covid-19 hampir sepenuhnya.
Beliau juga berharap ibu bapa tidak memberi tekanan kepada anak-anak sekiranya keputusan yang diperolehi tidak begitu memuaskan.
Sementara itu sebanyak 382 calon SPM 2021 di Kedah berjaya memperolehi gred A (cemerlang) semua mata pelajaran yang diduduki.
Bagi pencapaian keseluruhan berdasarkan gred purata (GP) Kedah ialah 5.14 dan seramai 10 calon berjaya memperolehi gred A+ (cemerlang tertinggi) bagi semua mata pelajaran.
Manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma, Alor Setar mendapat pencapaian terbaik 2021 dengan GP 2.00. – HARAKAHDAILY 16/6/2022











