295 bakal jemaah haji Malaysia berlepas petang ini

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH dan SYAHIRAH SALLEH

SEPANG: Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia musim 1443H/2022 yang membawa seramai 295 bakal jemaah berlepas ke Tanah Suci, petang ini.

Penerbangan pertama djadual berlepas pada jam 1.35 petang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang menerusi penerbangan Saudi Airlines (SV 5635).

Jemaah haji dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada jam 4.55 petang waktu Arab Saudi.

- Advertisement -

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk ldris Ahmad menasihatkan semua bakal jemaah haji menjaga kesihatan berikutan Covid-19 yang masih boleh mengancam kesihatan.

Beliau juga meminta semua jemaah haji untuk terus mematuhi SOP kesihatan dan berhati-hati supaya tidak terkesan dengan jangkitan Covid atau penyakit berjangkit yang lain semasa berada di Tanah Suci.

“Para jemaah haji juga dinasihatkan agar tidak terdedah terlalu lama kepada cuaca panas kerana pada ketika ini adalah musim panas di Arab Saudi dan suhu boleh mancapai kepada 50 darjah celsius,” kata beliau.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Dato’ Sri Amrin Awaluddin berkata pihaknya amat berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang telah bersetuju meneruskan semula projek Makkah Route untuk memudahkan proses pra pelepasan pemeriksaan Jabatan Imigresen dan Kastam di KLIA.

“Para jemaah Malaysia tidak perlu lagi melalui proses imigresen semasa tiba di Arab Saudi dan boleh menaiki bas terus ke hotel penginapan masing-masing dan ini akan menjimatkan masa semua jemaah haji.

“Alhamdulillah bagi operasi haji tahun ini, semuanya berjalan lancar walaupun perjalanan musim haji tahun ini agak berbeza disebabkan pandemik Covid-19, tetapi semua berjalan mengikut perancangan ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut hadir sama Perdana Menteri, Dato’ Seri lsmail Sabri Yaakob, Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Dato’ Dr. Mahmoud Hussien Saeed Qattan.

Pada tahun ini, sebanyak 48 penerbangan Malaysia Airlines dan juga Saudia Airlines yang akan membawa 14,306 jemaah haji negara ini ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima. – HARAKAHDAILY 4/6/2022

- Advertisement -