
Oleh ASLANI M
KOTA BHARU: Agenda pemerkasaan bahasa Melayu merupakan agenda nasional yang perlu disokong penuh semua pihak.
Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris Dr Zulkeflee Yaacob berkata, pihak yang menghina dan memperlekehkan usaha tersebut perlu diheret ke muka pengadilan kerana cubaan menghasut orang awam.
Katanya, tindakan tegas boleh dikenakan memandangkan tindakan segelintir pihak terbabit menyalahi keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
“Kritikan pihak terbabit terhadap usaha kerajaan boleh mengundang mudarat kepada keamanan dalam masyarakat majmuk di negara kita,” katanya di sini.
Baru-baru ini bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz dilapor mempertikaikan usaha kerajaan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan.
Bekas Ketua Wanita Umno itu menyifatkan langkah kerajaan memartabatkan bahasa Melayu sebagai langkah mundur yang tidak membantu rakyat untuk maju.
Dr Zulkeflee berkata, bekas menteri terbabit dianggap ‘syok sendiri’ sehingga meletakkan dirinya sudah tidak relevan dalam arus politik semasa.
“Sekarang pasca era global dan digital setiap negara bangga menonjolkan bahasa sendiri di peringkat antarabangsa.
“Usaha itu digerakkan serius kerajaan di bawah Keluarga Malaysia yang sepatutnya disokong semua pihak dan jangan pula hasut rakyat memperlekeh langkah tersebut,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/6/2022











