
PADA 21 Mei lepas Sidang As-Sabiqun PAS Pusat telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Aidilfitri di Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Muhammadi (MTQM), Muar, Johor. Sidang tersebut telah ditubuhkan untuk memberi ruang kepada mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan tidak memegang apa-apa jawatan untuk terus menyumbang dan berperanan di dalam PAS dan masyarakat. Walaupun terdapat ramai pemimpin di dalam PAS yang berumur 60 tahun ke atas namun As-Sabiqun memberi peluang kepada lebih ramai ahli untuk terus aktif walaupun telah melepaskan jawatan mereka. Ia memberi peluang kepada mereka untuk terlibat dengan aktiviti parti menurut rentak mereka.
Walau bagaimanapun kadang-kala “orang tua” lebih aktif dari “orang muda”. Dari segi kemampuan fizikal, mereka tidak sehebat “orang muda” namun ramai yang mempunyai lebih banyak masa terluang dan kehidupan mereka lebih stabil. “Orang muda” mungkin juga sibuk dengan karier mereka dan bagi ramai dari mereka, kerja-kerja parti hanya boleh dilakukan selepas waktu kerja atau mereka terpaksa “mencuri masa”. Kadang-kala mereka perlu mengambil cuti memandangkan komitmen kerja itu. Mereka juga mempunyai komitmen keluarga dengan tanggungjawab kepada isteri dan anak-anak yang perlu diberi sepenuh perhatian.
“Orang tua” tetutamanya yang telah bersara tidak memiliki komitmen tersebut. Isteri mereka sudah tentu tidak memerlukan sokongan sepertimana isteri “orang muda” kecuali mereka mempunyai isteri yang muda! Anak-anak mereka juga telah dewasa dan boleh menjaga diri masing-masing. Malah isteri dan anak-anak mereka yang diharapkan untuk menjaga mereka. Mereka boleh ke mana-mana sahaja kerana tidak terdapat tanggungjawab lain yang mengikat mereka.
Dari sudut kewangan, ramai dari mereka yang kedudukannya telan mantap. Mereka tidak lagi memiliki komitmen untuk membayar bank untuk pinjaman perumahan atau pinjaman kereta. Ada yang menerima pencen secara tetap dari kerajaan, ada yang baharu sahaja menerima gratuiti dari syarikat mereka bekerja dan ada pun yang baharu sahaja membawa keluar simpanan KWSP mereka. Malah ramai yang menerima wang dari anak-anak dan cucu-cucu mereka dari masa ke semasa.
Berdasarkan pengalaman mereka yang luas, mereka juga lebih senang membuat keputusan. Mereka tidak akan teragak-agak kerana mereka telah melihat dan melalui segala-galanya. Mesyuarat menjadi lebih ringkas. Gerak kerja menjadi lebih laju. Pelbagai program dicadangkan. Mungkin ada yang berkata zaman mereka adalah berbeza. Sebenarnya “orang tua” lebih mengikuti perkembangan semasa kerana mereka mempunyai lebih banyak masa terluang untuk memerhatikan dan membandingkan keadaan sekeliling. Mereka mempunyai masa untuk melayari media sosial. Ada yang lebih “savvy” dalam media sosial dari “orang muda”.
Bagi seorang aktivis yang terlibat dengan pelbagai gerak kerja sama ada kemasyarakatan, dakwah atau politik sepanjang hayat, sudah tentu akan menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan situasi yang baharu apabila tidak lagi memegang apa-apa jawatan. Ada yang melibatkan diri di dalam NGO, masjid, surau atau persatuan penduduk. Walau bagaimanapun tenaga, kesungguhan dan kepakaran yang dimiliki tidak akan dimanfaatkan sepenuhnya jika peranan yang diberikan adalah kecil atau terhad.
Ada seorang kawan sekolah yang memberitahu saya akan jadualnya setiap hari yang berlegar-legar di sekitar surau di rumahnya. Beliau akan meluangkan masa 1 jam sebelum dan selepas solat jemaah di suraunya. Ini bermakna beliau menghabiskan 5 jam setiap di surau itu. Itu sahaja aktiviti beliau setiap hari. Tetapi terdapat ada di antara kita yang tidak hanya berpuas hati berulang-alik ke surau setiap hari sahaja. Memang jadual seperti itu amat terpuji tetapi terdapat mereka yang mahu lebih dari itu. Mereka bukan sahaja mahu menjadi baik tetapi mahu orang lain dan masyarakat juga menjadi baik. Mereka seperti ini bukan sekadar mahu mati di atas sejadah di masjid atau surau tetapi bercita-cita untuk syahid di medan perjuangan.

Mungkin juga As-Sabiqun merupakan saluran terbaik bagi mereka seperti ini. Jika kita melihat kepada riwayat Rasulullah SAW, peperangan terakhir yang disertai oleh Baginda adalah setahun sebelum Baginda wafat iaitu ketika umur melebihi 60 tahun. Ini merupakan satu bukti yang jelas bahawa perjuangan itu adalah sehingga ke akhir hayat. Umur yang meningkat bukan satu alasan. Walau bagaimanapun mungkin rentaknya berbeza dan mungkin juga skopnya berbeza tetapi perjuangan tetap diteruskan. Kadang-kala menyampah juga bila mendengar orang berkata, “Dah tua, duduk masjid aje.” Memang bagus duduk di masjid atau surau tetapi masih ada banyak kerja-kerja yang masih belum selesai luar sana.
Saya pernah terbaca kisah seorang lelaki berbangsa Cina yang sudah begitu tua yang tinggal di Kuala Lumpur tetapi akan bangun awal pagi untuk menaiki bas ke Seremban. Di sana beliau secara sukarela memasak untuk sebuah rumah kebajikan orang-orang tua. Saya telah lupa berapa umurnya tetapi jika saya tidak silap sekitar 70-an. Jika beliau boleh berkorban untuk sesuatu yang beliau percaya kenapa tidak kita di dalam perjuangan yang merupakan penyambung kepada kerja-kerja para Rasul dan Nabi. Satu lagi contoh umur bukan satu halangan adalah kisah tentang kejayaan pengasas KFC, Colonel Sanders, yang memulakan francais KFC ketika berumur 65 tahun.

Justeru mereka bukan sekadar “pelakon tambahan” atau sekadar untuk mencukupkan bilangan sahaja. Tetapi terdapat peranan-peranan yang boleh dilakukan oleh mereka yang tidak dapat dilakukan oleh orang lain. Contohnya ramai yang pernah memegang jawatan-jawatan yang tinggi sama ada di dalam perkhidmatan kerajaan atau sektor swasta. Ramai juga yang berpengaruh di dalam masyarakat. Mereka dihormati dan disegani. Mereka boleh memainkan peranan yang besar untuk menarik masyarakat. Mereka adalah satu aset yang perlu dimanfaatkan. Tetapi mereka perlu berjiwa besar. Jangan merasakan diri mereka sebagai bebanan kepada orang lain. Mereka juga boleh merintis jalan ke hadapan.
DATO’ ISKANDAR A SAMAD
Bendahari PAS Pusat
3 Jun 2022 – HARAKAHDAILY 3/6/2022











