KBEA beri anugerah prestij kepada usahawan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kelantan Business Entrepreneurship Awards (KBEA) 2022 julung kalinya memberi penghargaan dan anugerah berprestij kepada 39 keusahawanan terpilih negeri ini.

Pengerusi KBEA, Shahir Adnan berkata, penganugerahan itu sebagai pemangkin kepada usahawan yang banyak terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan perniagaan akibat Covid-19 selama hampir dua tahun.

Katanya, anugerah yang diberikan kepada 39 daripada 100 pencalonan yang layak itu berdasarkan penilaian yang dibuat oleh pihak Jawatankuasa KBEA.

- Advertisement -

“Covid-19 telah memberi impak yang besar kepada perniagaan tempatan dan ramai usahawan yang masih lagi mengambil masa untuk memulihkan keadaan perniagaan mereka.

“Walaupun diuji dengan musibah termasuk terpaksa berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan perniagaan akibat Covid-19 selama hampir 2 tahun, ramai juga yang berjaya menyelamatkan perniagaan mereka.

“Berbekalkan kekuatan, berbekalkan usaha dan kebijaksanaan menguruskan perniagaan, pihak KBEA 2022 bersetuju untuk menganugerahkan Anugerah Perniagaan Keusahawanan Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyampaian anugerah kepada usahawan yang diadakan di sini, malam tadi.

Menurutnya lagi, majlis yang bertemakan ‘ayuh kami raikan kehebatan anda atau Let’s celebrate your excellence’ itu juga adalah bertujuan membuktikan bahawa sektor perniagaan dan keusahawanan anak Kelantan tetap berkembang maju.

Tambahnya, pihak KBEA menzahirkan ucapan syukur dan terima kasih kepada kerajaan negeri yang memberi dorongan dan sokongan yang berterusan, khususnya Menteri Besar, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Kelantan, Dato’ Hanifa Ahmad.

“Semoga banyak lagi kerjasama murni ini dapat diteruskan pada masa akan datang yang bertujuan untuk memperkasakan lagi kejayaan para usahawan semua. Kekalkan semangat bangsa usahawan,” katanya.

Pada majlis yang sama, pihak KBEA turut memberi penganugerahan kepada pihak media yang turut menerima anugerah Excelence In Media Communication (Kelantan Choice), antaranya Harakah, Al-Hijrah, Molekfm, RTM dan lain-lain. – HARAKAHDAILY 1/6/2022

- Advertisement -