Prinsip GRS selaras Budaya Politik Matang Sejahtera

- Advertisement -

Oleh SUZIANA GHANI

KOTA KINABALU:
Muslimat PAS Sabah menyokong komitmen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggerakkan wacana politik berpandukan prinsip politik pembangunan dan politik akomodasi.

Ketuanya Norsah Bongsu berkata, prinsip politik pembangunan mengutamakan pencapaian dan bukan janji retorika politik yang tidak berkesudahan.

Manakala prinsip politik akomodasi iaitu mengamalkan sikap terbuka dan bertindak secara akomodatif bagi membina solidariti dan kesatuan rakyat.

- Advertisement -

“Politik akomodasi bermaksud keterbukaan untuk bekerjasama dengan semua atas kepentingan dan matlamat yang sama.

“Kami menyokong penuh kedua-dua prinsip tersebut kerana ia selari dengan prinsip yang terkandung dalam Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang diperjuang PAS selama ini,” katanya di sini.

Pada Sabtu lepas Ketua Menteri Dato’ Seri Panglima Hajiji Noor melancarkan GRS di Sabah International Convention Center (SICC).

Hadir sama pada majlis bersejarah itu Pesuruhjaya PAS Sabah Mohd Aminuddin Aling, Norsah dan Ketua Pemuda PAS negeri Hendri Hamsah.

Oleh itu Norsah berharap kepimpinan GRS berpegang teguh terhadap kedua-dua prinsip tersebut bagi mengekalkan kekuatannya di samping memacu pembangunan Sabah.

GRS dibentuk pada September 2020 semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan pendaftarannya secara rasmi pada Mac lalu.

GRS mengandungi Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO). – HARAKAHDAILY 30/5/2022

- Advertisement -