
RABAT: Mahkamah Maghribi menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap seorang aktivis atas dakwaan menghina Raja Mohammed VI di platform media sosial.
Peguam bela, Abdelmajid Azaryah berkata, anak guamnya yang juga wartawan, Rabie Al Ablaq dijatuhi hukuman tersebut pada Isnin (25 Apr) kerana menyinggung perasaan raja Maghribi itu secara dalam talian.
Perbicaraan yang mula bersidang pada 11 Apr lalu selepas Al Ablaq, 35, menerbitkan rakaman video yang mengkritik jurang sosial dan rasuah melalui media sosial.
“Saya terkejut dengan keputusan mahkamah tersebut kerana dia hanya menyatakan pendapatnya. Saya tidak merasakan kandungan yang telah dimuatnaik Al Ablaq itu sebagai telah menggugat institusi (diraja) Maghribi,” tambahnya.
“Al Ablaq juga didenda sebanyakk 20,000 dirham (kira-kira AS$2,000),” kata Azaryah.
Menurut Human Rights Watch, Al Ablaq disabitkan bersalah atas dua video yang disiarkan di Facebook dan YouTube pada September dan November tahun lalu yang mana dia ‘menghadap Raja Mohammed VI… dan membandingkan kekayaan peribadinya dengan kemiskinan yang meluas dalam masyarakat di Maghribi’.
Sehubungan itu, badan pemerhati hak asasi kemanusiaan itu telah menggesa pihak berkuasa untuk menggugurkan tuduhan terhadap Al Ablaq. – AFP











