
Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR
PASIR PUTEH: Kepulangan anak-anak perantau sempena Hari Raya Aidilfitri akan disambut wakil-wakil rakyat di kawasan sempadan di Pasir Puteh, Jeli dan Gua Musang.
Sambutan itu akan diadakan bermula 28 April ini, di samping mengagihkan juadah iftar dan buah tangan kepada mereka.
Sambutan di Gua Musang dijangka diadakan di Masjid Buluh, manakala di Pasir Puteh di Gaal.
Adun Gaal Mohd Rodzi Jaafar berkata program itu akan diadakan di hadapan Pejabat Pusat Khidmat Dun (PKD) Gaal dua hari sebelum Aidilfitri.
Katanya PKD Gaal sedang bersiap sedia untuk menyambut kepulangan anak-anak perantau sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
“Pada hari berkenaan kami bercadang untuk mengagihkan kuih raya dan bubur lambuk dengan kerjasama Muslimat PAS Dun Gaal.
“Sambutan itu diadakan sebagai meraikan kepulangan anak-anak perantau di samping menambah keceriaan mereka di pintu masuk ke Pasir Puteh,” katanya selepas mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk Kampung Bukit Awang semalam.
Mohd Rodzi juga berkata, pintu sempadan di Bukit Yong dijangka berlaku pertambahan kenderaan luar biasa memandangkan dua tahun perantau tidak boleh berhari raya di kampung kerana penularan wabak Covid-19.
Beliau turut menyokong saranan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob supaya perantau membuat ujian kendiri RTK terlebih sebelum pulang ke kampung bagi mengelakkan penularan semula wabak.
Katanya, langkah itu bagi membolehkan perantau yang pulang bertemu ibu bapa di kampung benar-benar bebas daripada wabak Covid-19.
“Ibu bapa kita berusia dan uzur mudah dijangkiti wabak kerana antibodi mereka tidak lagi kuat. Jadi kita kena pakat beringat bagi mengelakkan penularan semula wabak,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/4/2022











