
DEWAN Pemuda PAS Kawasan (DPPK) Taiping merakamkan sekalung tahniah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping khususnya pihak Balai Polis Taiping di atas kejayaan operasi banteras kegiatan pelacuran (OPS NODA) dalam bulan Ramadan kali ini.
Sudah tentu tindakan penguatkuasaan melalui beberapa siri serbuan dan tangkapan yang dibuat dapat membuka mata mereka yang terlibat secara langsung dalam kegiatan aktiviti pelacuran dan memberi kesedaran kepada masyarakat keseluruhannya.
Dalam pada itu, kempen kesedaran dan pencegahan sewajarnya diperkasa dan digerakkan semua pihak agar kegiatan aktiviti penyundalan seumpama ini mesti disifarkan agar dihindari daripada pelbagai penyakit termasuklah AIDS yang membawa kepada kematian.
DPPK Taiping menyeru dan mengajak semua pihak agar dapat menerapkan pembudayaan ilmu kepada masyarakat setempat bermula daripada peranan ibu bapa di rumah, guru-guru di sekolah dan ahli masyarakat agar menghindari gejala buruk yang boleh menyebabkan terjemurus ke dalam kancah aktiviti yang tidak sihat.
Dalam pada itu, DPPK Taiping juga bersedia menawarkan diri membantu pihak berkuasa termasuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam menjayakan sebarang usaha berterusan ke arah membanteras aktiviti pelacuran di sekitar kawasan Taiping apabila diperlukan, Insya-Allah.
Sekian, terima kasih.
“Legasi Perjuangan”
“Memacu Perpaduan”
AMAR JAMALUDDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Kawasan Taiping – HARAKAHDAILY 26/4/2022











