
BERSEMPENA sambutan Hari Bumi Sedunia atau ‘World Earthday’ yang disambut seluruh dunia pada 22 April setiap tahun sama-sama kita mempertahankan agar khazanah bumi ini tetap terpelihara dari sebarang ancaman pencemaran dan kerosakan ekosistemnya.
Tema sambutan Hari Bumi Sedunia Tahun 2022 ini adalah ‘Invest In Our Planet‘ dan tema sambutan Hari Alam Sekitar Negara tahun 2022 peringkat Negeri Perak iaitu ‘Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama’ adalah selaras dengan salah satu agenda utama Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan iaitu agenda ‘Perak Bumi Lestari’ dan kerajaan negeri komited untuk menjadi peneraju kelestarian sumber dan alam sekitar di negara ini.
Adalah diharapkan melalui penganjuran program-program yang berkaitan dengan kesedaran alam sekitar ini ianya dapat mewujudkan satu jalinan kerjasama di antara agensi-agensi di bawah Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak yang berkepentingan dalam usaha-usaha pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar di Negeri Perak dan seterusnya menerapkan nilai-nilai murni alam sekitar.
Alhamdulillah saya berkesempatan hadir ke program Sambutan Hari Bumi Sedunia dan Soft Launch HASN Peringkat Negeri Perak di Taman D.R Seenivasagam, Ipoh hari ini.
Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan Negeri Perak Darul Ridzuan sebagai sebuah negeri yang Bersih, Hijau dan mencapai standard kualiti persekitaran yang terbaik.
Kerajaan Negeri juga menetapkan salah satu inisiatif baharu di dalam Pelan Perak Sejahtera 2030, adalah supaya usaha penjagaan denai-denai yang mengalir ke Sungai Perak merupakan salah satu daripada mekanisme kawalan pencemaran sungai dan risiko banjir.
Turut hadir, Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Bahrin@Md Daud, Pegawai Daerah Kinta, Tuan Meor Hezbullah Meor Abd Malik, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak, Tuan Rosli Zul dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) PLAN Malaysia, Tuan Hassab Yaakob.
MOHD AKMAL KAMARUDDIN
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak – HARAKAHDAILY 22/4/2022














