
DALAM risalah Al-Ghabqah Mauruts Sya’bi Yu’azziz Al-Alāqāt Al-Ijtima’iyyah tulisan Faruq Ahmed Al-Dammam menyatakan bahawa penyediaan Ghabqah selepas Terawih adalah suatu amalan yang dapat mempertautkan hubungan kekeluargaan dan juga kejiranan:
وتعرف الغبقة على أنها الوجبة أو الطعام الذي يتناوله الأصدقاء أو الجيران مجتمعين في رمضان خلال الفترة من بعد صلاة التراويح وحتى ساعات متأخرة من الليل. وتتجاوز الغبقة مفهوم الأكل أو الشرب لتشكل مظهرا اجتماعيا وفرصة يحرص سكان المنطقة عليها، باعتبارها فرصة لالتقاء الأحباب خلال ليالي رمضان ومناسبة للتسامر والحديث عن أمور الحياة ومستجداتها
“Ghabqah dikenali sebagai hidangan atau makanan yang disediakan untuk dimakan oleh rakan taulan atau jiran tetangga ketika berkumpul beramai-ramai pada bulan Ramadan dalam tempoh selepas solat Terawih sehingga lewat malam. Ghabqah ini melangkaui konsep makan atau minum untuk membentuk aspek sosial dan sebagai peluang yang diambil oleh penduduk di suatu kawasan, memandangkan ia adalah peluang untuk bertemu sahabat handai pada malam-malam Ramadan dan berpeluang untuk berkomunikasi serta berborak berkenaan agenda kehidupan seharian dan perkembangan semasa”.
Ghabqah ialah moreh dalam istilah masyarakat kita orang Melayu. Moreh ini sudah menjadi adat boleh dikatakan di seluruh negara akan tetapi ia sangat masyhur di negara teluk dengan pelbagai makanan tradisi disediakan. Asasnya moreh ini adalah salah satu cara untuk mempertautkan hubungan dan kenal mengenal antara satu sama lain. Jika ditinjau amalan moreh dalam masyarakat kita terdahulu, ia mempunyai konsep taawun ijtimaie dan tadrib kanak-kanak untuk mendekati masjid atau surau. Ahli qaryah akan bergilir menyediakan juadah moreh selepas Terawih di suatu masjid atau surau dan yang lain mendermakan wang ke tabung yang disediakan.
Pada hari ini, moreh telah melebar luas sehingga membentuk Bazar Moreh dan peluang untuk orang ramai berniaga terbuka luas. Adalah diharapkan amalan moreh ini dapat mengekalkan objektifnya yang asal dan tidak hanya terhad kepada bazar atau kedai makan sahaja tetapi ia tetap melebar di masjid dan surau untuk galakan kanak-kanak berterawih serta mempertautkan hubungan sesama anak mukim. Moreh di kediaman juga sangat digalakkan demi untuk merapatkan lagi tautan antara kerabat dan juga kenalan.
ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 22/4/2022











