
Nazhafah Diri & Integriti Melalui Juz 11
DIRI seseorang itu boleh disucikan daripada dosa yang telah dilakukan. Apa yang penting, keampunan daripada Allah SWT hendaklah sentiasa dipohon dan perbanyakkan amal soleh untuk mensucikan diri. Jika dahulu, orang yang mencampur adukkan amalan baik dan jahat hendaklah bertaubat dan setelah itu diambil satu pertiga daripada harta mereka sebagai penebusan terhadap kesalahan yang telah dilakukan.
Kisah Abu Lubabah menjadi ibrah kepada mereka yang terlanjur lalu menginsafi diri. Beliau menghukum dirinya dengan mengikat tubuhnya di tiang masjid sehinggalah Allah menurunkan ayat membebaskannya daripada kesalahan. Firman Allah SWT:
خُذۡ مِنۡ أَمۡوَ ٰلِهِمۡ صَدَقَةࣰ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّیهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَیۡهِمۡۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنࣱ لَّهُمۡۗ وَٱللَّهُ سَمِیعٌ عَلِیمٌ. أَلَمۡ یَعۡلَمُوۤا۟ أَنَّ ٱللَّهَ هُوَ یَقۡبَلُ ٱلتَّوۡبَةَ عَنۡ عِبَادِهِۦ وَیَأۡخُذُ ٱلصَّدَقَـٰتِ وَأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِیمُ.
Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk). Dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.Tidakkah mereka mengetahui bahawa Dialah yang menerima taubat daripada hamba-hamba-Nya, dan juga menerima sedekah-sedekah, dan bahawa sesungguhnya Allah Dia Penerima taubat lagi Maha Mengasihani”. (Al-Taubah: 103-104)
Menurut Imam Ibnu Katsir, ayat ini menjelaskan tentang perintah Allah SWT kepada Rasul-Nya untuk mengambil zakat daripada harta orang yang terlanjur berbuat kesalahan demi untuk membersih dan mensucikan diri melalui zakat yang dikenakan.
Menurutnya lagi, perintah ini juga ditujukan kepada orang-orang yang mengakui perbuatan dosa mereka yang telah mencampur adukkan amal baik dan amal buruknya supaya mereka kembali insaf dan bersih jiwa daripada kekotoran diri.
Berkorban harta dengan bersedekah mempunyai nilai yang tinggi dalam pelaksanaan amal soleh. Bersedekah dalam Islam ada dua hukum iaitu sedekah wajib yang melibatkan zakat dan sedekah sunat seperti infak, wakaf, hadiah dan seumpamanya.
Allah SWT memerintahkan sedekah kepada hamba-Nya yang memiliki harta dan kekayaan bertujuan untuk mengekal serta menambahkan keberkatan harta, mendekatkan diri kepada Allah SWT, menjalinkan persaudaraan, membersihkan jiwa daripada sifat tercela dan menjauhkan diri daripada bala bencana. Segala pintu kebaikan akan terbuka melalui bersedekah bahkan ianya dapat memadamkan segala dosa lalu sebagaimana sabda Nabi SAW:
أَلاَ أَدُلُّكَ عَلَى أَبْوَابِ الخَيْرِ : الصَّوْمُ جُنَّةٌ ، وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ
Maksudnya: “Tidakkah kamu mahu aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan? Puasa itu perisai, sedekah dapat memadam dosa sepertimana air memadam api.” (Riwayat Tirmizi dan al-Nasa’ie)
Sempena bulan Ramadan yang mulia, marilah kita beri keutamaan kepada jihad harta dengan menyalurkan sedekah serta sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Afdalnya sedekah hendaklah diberikan secara tersembunyi, namun ianya dibolehkan untuk diberi secara terbuka bagi memberi semangat kepada orang lain.
Imam Al-Maraghi ada menyebut dalam tafsirnya: “Jika kamu mengeluarkan derma secara terbuka, maka cara seperti itu adalah lebih baik kerana ia akan menjadi teladan yang baik kepada orang lain, sehingga ada antara mereka yang akan menirunya”.
Apa yang penting kita ikhlas kepada Allah SWT dengan tidak ada sedikitpun niat untuk kepentingan diri dan menunjuk-nunjuk kepada orang ramai.
USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
11 Ramadan 1443/13 April 2022 – HARAKAHDAILY 13/4/2022











