Madrasah Ramadan: Anak muda dan masjid

- Advertisement -

MADRASAH Ramadan memberi peluang kepada kita semua untuk meningkatkan amal soleh yang dijanjikan pahala yang berlipat kali ganda sama ada ibadah yang dilakukan secara sendirian mahupun berjemaah.

- Advertisement -

Bermula seawal pagi bangun bersahur dan menghidupkan malam (qiamullail) dengan  mendirikan solat tahajud, solat sunat taubat, solat sunat hajat dan pelbagai lagi termasuklah beristighfar, berzikir kepada Allah S.W.T serta berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W.

Tidak lain dan tidak bukan untuk menuju kepada matlamat utamanya agar kita tergolong dalam orang-orang yang bertaqwa sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Dalam pada itu, kehadiran anak muda termasuklah kelompok remaja dan belia ke masjid dan surau di bulan Ramadan memberikan sinar harapan yang menunjukkan keinginan dan kemahuan itu sudah ada.

Namun demikian, masih ramai anak muda di luar sana yang perlu disantuni agar mereka lebih dekat dengan masjid dan surau. Sudah tentu memerlukan pelbagai cara yang boleh menarik mereka hadir bersama.

Seringkali kita laksanakan program atau aktiviti dengan kehendak kita dan bukannya atas keperluan mereka. Sedangkan sepatutnya masjid dan surau boleh menjadi hub komuniti yang boleh memberikan banyak manfaat kepada masyarakat. 

Sebagaimana tular sebelum ini, masjid di Amerika Syarikat ketika ini boleh dijadikan contoh terbaik apabila menyediakan ruang dan peluang untuk anak muda beraktiviti di masjid termasuklah bermain PS4, ‘nerf gun’di samping kelas pengajian.

Malah sudah ada masjid-masjid dalam negara kita termasuk di Negeri Perak begitu mesra masyarakat dengan menyediakan pelbagai kemudahan untuk musafir, peralatan sukan seperti ping pong dan juga kedai jualan barangan keperluan harian.

Langkah proaktif tersebut sangat perlu diperluas dan dijadikan sebagai salah satu agenda penting masjid dan surau untuk menarik anak muda hadir ke masjid. Apabila masuk waktu solat, mereka berhenti seketika dan bersama mendirikan solat fardu berjemaah.

Insya-Allah apabila ibadah solat yang menjadi tiang agama dijaga sebaiknya, ianya akan mengubah cara hidup berlandaskan Islam. Asasnya perancangan masa mengikut waktu solat, adab dan akhlak terbina atas disiplin tersebut.

Justeru, marilah sama-sama kita berusaha sedaya mampu untuk menjadikan masjid dan surau sebagai destinasi yang dapat menemukan ahli masyarakat khususnya anak muda dengan enam langkah utama dengan akronim PEMUDA.

P – Promosi aktiviti anak muda dengan kerap termasuk disediakan kemudahan internet percuma.

E – Empati terhadap keperluan anak muda dengan mengelakkan perlabelan atau tanggapan negatif.

M – Minat anak muda diraikan dan mendorong ke arah kebaikan.

U – Usaha libatkan anak muda dengan memberi peranan atau tanggungjawab bersesuaian.

D – Didik anak muda dengan kepelbagaian ilmu bermanfaat menawarkan termasuk tuisyen percuma.

A – Anugerah sebagai tanda pengiktirafan atas pencapaian anak muda.

Sebagaimana yang pernah disebut oleh Saidina Ali R.A!

“Jika kamu mahu ingin melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.” 

(Saidina Ali R.A)

Daripada kata-kata Saidina Ali R.A telah menunjukkan bahawa, jatuh bangunnya sesebuah negara terletak di tangan pemuda masa kini kerana mereka merupakan waris kepimpinan negara pada masa akan datang.

Jadi, manfaatkan Ramadan kali ini untuk mencipta sesuatu yang lebih baik bermula sekarang agar dapat diteruskan agenda melahirkan generasi masa depan yang berkualiti dan berakhlak mulia.

USTAZ HAFEZ SABRI
Ketua Pemuda PAS Kawasan Tambun
Ketua Pemuda PAS Negeri Perak
Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 11/4/2022

- Advertisement -