
DEMI menghidangkan juadah berbuka puasa di atas meja. Tidak mengira cuaca, panas terik mahupun hujan. Umpama ‘Menantang Dahaga Di Lautan’.
Sungguhpun di bulan puasa ini mereka menahan lapar dan dahaga. Ia tetap masih menjadikan mereka bekerja keras untuk membawa pulang rezeki yang halal, langsung tidak pernah patah semangat tanpa mengenal erti lelah.
Bukan untuk bermewah dengan berpakaian raya yang serba cantik. Tetapi cukup sekadar mendapatkan rezeki yang halal buat keluarga. Bukannya setiap hari hasil tangkapan itu membawa keuntungan yang besar, tetapi ia masih membawa keberkatan dalam pekerjaan.
Denyutan kesusahan dan kerja keras rakyat dapat dirasai. Kudrat yang dikerahkan ini untuk membahagiakan keluarga di rumah. Merekalah yang menjadi wira kepada keluarga untuk mencari rezeki.
Sudah ditakdirkan hidup mereka bukan senang seperti orang lain. Namun begitu, mereka langsung tidak pernah merungut dengan cabaran sepanjang bekerja. Pergi pagi, pulang malam. Kesabaran yang tinggi menjadi kunci buat mereka yang bergelar nelayan.
Setiap umat Islam perlu menunaikan kewajipan kepada Allah. Demikian dengan kehidupan nelayan di sini. Sungguhpun sentiasa berada di lautan mencari rezeki bagi menyara hidup keluarga, tetapi mereka tidak ketinggalan dalam menunaikan kewajipan yang dituntut oleh agama.
Inilah sebuah pengalaman buat diri saya, berpeluang berpuasa sepanjang hari bersama nelayan-nelayan di Kuala Sala. Saya sendiri dapat merasai sendiri penat lelah para nelayan di bulan puasa. Memang benar, amat besar jasa dan pengorbanan sang ‘Nelayan’.
Terima kasih saya ucapkan kepada Pak Njang Mat Isa kerana sudi membawa saya bersama team Pusat Khidmat Penyelaras DUN Pengkalan Kundor ke laut hari ini. Satu tuas ke satu tuas dilewati kami bersama.
Sudah pasti, perjalanan hari ini memberikan suntikan semangat buat saya untuk terus bekerja kepada rakyat. Apatah lagi apabila membicarakan soal tanggungjawab kepada para nelayan.
Allahu Akbar! Jika diberikan ruang, sama-sama lah kita membantu mereka semua. Kalau tidak mampu sekalipun dari segi wang ringgit, kita doakan kesejahteraan buat mereka semua.
USTAZ DR AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
Yang Dipertua
PAS Kawasan Kuala Kedah – HARAKAHDAILY 4/4/2022















