
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Kerajaan Perlis akan membangun kawasan persisiran pantai Bukit Batu Putih, Kuala Perlis melibatkan pelaburan bernilai RM24.5 juta.
Exco Pelancongan Negeri, Asmaiza Ahmad berkata pelaburan syarikat swasta terbabit merangkumi pembinaan pusat makanan laut, taman rekreasi dan motel.
“Projek tersebut dalam proses kelulusan kebenaran merancang oleh Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya menjawab soalan Mohd Shukri Ramli (PAS-Sanglang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.
Sebelum itu Mohd Shukri meminta kerajaan menyatakan rancangan bagi membangunkan sektor pelancongan di pesisiran pantai Kuala Perlis.
Asmaiza juga berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri (JPS) membangunkan dataran Integrated Multipurpose Attach Block (IMAB) dan Dataran Trek Kurong Tengar.
“Pelancong boleh menjalankan aktiviti riadah dan rekreasi sambil menikmati pemandangan serta menikmati juadah makanan ringan yang dijual di kawasan tersebut.
“Kita juga merancang membina dataran riadah pesisir pantai dan menaik taraf siar kaki sedia ada di Laman Brasmana,” ujarnya.
Menurutnya kawasan tersebut berpotensi menarik kehadiran pelancong memandangkan ia menghadap ke laut dan mempunyai pemandangan indah terutamanya ketika matahari terbenam.
“Kita akan melihat kesesuaian untuk membangunkan kawasan itu seperti mana kawasan Kurung Tengar di mana terdapat pemasangan lampu jalan bagi menambah tarikan pengunjung di kawasan terbabit,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/3/2022











