
Oleh MUHAMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Sejak gagasan ‘Bertani Satu Ibadah’ dilaksanakan kerajaan Kelantan sejak 14 tahun lalu, kini ia mencatatkan hasil memberangsangkan.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, gagasan itu sebagai strategi untuk meningkatkan penghayatan konsep ibadah masyarakat tani.
Katanya ia secara tidak langsung memberi motivasi kepada petani, penternak dan nelayan bagi meningkatkan usaha dalam bidang pertanian.
“Slogan tersebut sebagai kesinambungan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) memberi penekanan terhadap usaha mendidik rakyat menjadikan Islam sebagai pegangan hidup.
“Produk pertanian berskala besar di bawah gagasan itu iaitu pengeluaran tembikai, durian, cili, labu manis, tomato dan kobis,” katanya ketika menjawab soalan Dato’ Abdul Aziz Derashid (BN-Kuala Balah) pada persidangan Dun hari ini.
Tuan Mohd Saripudin berkata, Bertani Satu Ibadah menjadi slogan yang tidak asing dalam kalangan masyarakat tani di Kelantan.
Menurutnya juga statistik pengeluaran buah-buahan berdasar data Jabatan Pertanian Malaysia, Kelantan merupakan pengeluar hasil buah-buahan tertinggi di negara ini.
Ia meliputi tembikai sebanyak 41,614.7 tan metrik (mt), durian ketiga tertinggi di negara ini iaitu 32,211.6 mt selepas Pahang (96,692.2 mt) dan Johor (117,365.5 mt).
Bagi pengeluaran labu manis (10,258.8 mt), cili (7,170.6mt) dan pengeluar tomato kedua tertinggi (67,403.7 mt) serta ketiga tertinggi bagi kobis bulat (516.4 mt) di Malaysia.
Dalam sektor penternakan katanya, melalui gagasan tersebut, pemodenan dan teknologi bio penternakan dalam pembiakbakaan lembu Naimbif mencatat rekod kemajuan memberangsangkan.
“Kelantan melahirkan 75 daripada 182 juru suntik permanian beradas penternakan lembu hibrid yang terdapat di Malaysia sekarang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/3/2022











