Projek tebatan: Siti Zailah anjur dialog penduduk, JPS

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIS ISMAIL

KOTA BHARU:
Pusat Khidmat Parlimen Rantau Panjang merangka pertemuan melibatkan penduduk dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Anggota Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, program itu bagi memberi pencerahan berhubung projek tebatan banjir.

Katanya masih wujud segelintir penduduk yang tidak mengetahui struktur projek yang bernilai RM2.15 bilion itu.

- Advertisement -

“Saya sudah maklum kepada JPS kita akan buat dialog dan pertemuan dengan pihak penduduk terlibat beri penjelasan dalam masa terdekat.

“Sebenarnya sebelum ini nak buat pertemuan tetapi kita berhadapan pandemik, PKP dan banjir tidak sempat nak buat,” katanya ketika diminta mengulas mengenai demostrasi aman di Kampung Sungai Lanchang, Rantau Panjang dekat sini kelmarin.

Sebahagian mangsa banjir baru-baru ini mendesak kerajaan mewujudkan lebih banyak pintu air di kawasan tebatan banjir Sungai Golok.

“Projek tebatan banjir itu dalam pembinaan, ia tidak siap lagi, memang saya sudah lihat pelan ada empat pintu air sepanjang tebatan tersebut.

“Tetapi oleh kerana projek ini belum siap jadi ada rakyat menganggap sudah siap fasa satu, sebenarnya fasa satu belum siap lagi,” katanya.

Projek Fasa Satu Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok dilaksanakan bagi mengatasi banjir di lokasi itu.

Pelaksanaan PLSB Sungai Golok Fasa 1 bakal menyelamatkan kediaman hampir 20,000 penduduk di 36 kampung di Jajahan Tumpat.

Ia penyelesaian jangka panjang kepada keseluruhan masalah banjir yang berlaku di sepanjang Sungai Golok Jajahan Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli. – HARAKAHDAILY 27/3/2022

- Advertisement -