
Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
KUALA TERENGGANU: Dunia kewartawanan ada etikanya sama ada kita suka atau tidak, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali.
Katanya, prinsip kewartawanan mahu kebebasan bersuara, namun dunia realiti tidak semua orang boleh bebas.
“Dunia kewartawanan ada etika dan sama ada suka atau tidak. Negara kita ada akta-akta tertentu seperti Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan, sepatutnya menjadi sempadan tugas kita.
“Media dan wartawan terikat dengan peraturan serta undang-undang,” katanya pada majlis Apresiasi Speaker DUN Terengganu Bersama Media di sebuah hotel di sini semalam.
Seramai 50 ahli Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) hadir pada program tersebut.
Yahaya juga berkata, kebertanggungjawaban dalam melaporkan maklumat diharap dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
“Media menjadi rakan kerajaan sebenarnya. Wartawan sebagai pemegang taruh dalam konteks sesebuah kerajaan.
“Sudah tentu ada kekuatannya dan ada kelemahannya. Tetapi, apa yang penting sepatutnya kita melaporkan dengan sebaik-baiknya,” kata beliau.
Menurutnya kewartawanan dalam konsep Islam sangat penting kerana melibatkan soal dosa dan pahala.
“Jika maklumat yang betul sudah tentu akan dapat pahala tetapi jika maklumat tidak betul, sudah tentu akan dapat dosa dan kemurkaan Allah SWT,” katanya.
Bagaimanapun katanya secara peribadi beliau menghargai rakan-rakan media di Terengganu kerana tidak banyak isu kontroversi yang dilaporkan. – HARAKAHDAILY 18/3/2022











