
Oleh SAIDAH HAIRAN
BATU PAHAT: Calon Perikatan Nasional bagi DUN Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mahfodz merayu para pengundi khususnya golongan muda supaya keluar mengundi bagi membuat perubahan di DUN itu.
Katanya, satu undi itu penting bagi memastikan masa depan bangsa dan masyarakat di DUN Parit Yaani dan negeri Johor lebih terbela.
Beliau berharap pengundi DUN Parit Yaani dapat memilih calon yang berwibawa daripada Perikatan Nasional.
“Saya merayu kepada semua pengundi yang masih belum keluar mengundi, di DUN Parit Yaani ini, keluarlah mengundi sekarang,” katanya ketika ditemui di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Tanjung Selulun, Parit Yaani.
Sebelum itu beliau mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Temenggong Ahmad, Kundang Ulu, Bukit Kepong, Muar sekitar jam 8.35 pagi tadi.
Beliau melahirkan kebimbangan jika pengundi khususnya dalam kalangan anak-anak muda masih berkurangan untuk keluar mengundi.
“Keluarlah mengundi awal. Pastikan jaga prosedur operasi standard (SOP) sepanjang proses pengundian,” katanya.
Selepas mengundi beliau meninjau proses pengundian antaranya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sin Hwa, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Hua Min, Sekolah Kebangsaan Bukit Soga, Sekolah Kebangsaan Seri Broleh, Sekolah Kebangsaan Bindu. – HARAKAHDAILY 12/3/2022











