
Oleh IBNU JANIE
MUAR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rakyat Johor harus diberi peluang untuk merasai pemerintahan Perikatan Nasional di negeri ini dengan memberi parti ini kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Menurut beliau rakyat sudah merasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), namun mereka belum lagi merasai pemerintahan Perikatan Nasional.
“Kalau tuan-tuan nak merasa kepimpinan Umno, (rakyat) Johor dah lama rasa dah. Tuan-tuan tahu dah apa berlaku. Kalau sekiranya (pemerintahan Umno BN) Johor terbaik, (sepatutnya) tak tumbang (kerajaan Umno BN) Johor dalam pilihan raya lalu.
“Kalau nak rasa kepimpinan PH, Johor pun pernah dipimpin PH. Yang tuan-tuan belum rasa kepimpinan Perikatan Nasional. Maka inilah zamannya,” ujar beliau semasa menyampaikan ceramah di Bilik Gerakan Perikatan Nasional DUN Simpang Jeram di Markas PAS Kawasan Bakri, malam semalam.
Beliau yang juga merupakan Menteri Alam Sekitar dan Air menambah, hakikatnya tidak ada keperluan mendesak untuk mengadakan PRN di Johor ini dengan sekadar mendakwa kerajaan yang ada sebelum ini sebagai tidak stabil.
“Kadang-kadang kita fikir… dan saya pun fikir yang sama, perlukah diadakan pilihan raya DUN atau pun PRN Johor? Sebab tak ada apa-apa pun sebenarnya yang kita rasa ada keperluan yang mendesak. Umno-BN beritahu, tujuan diadakan (PRN) untuk kestabilan politik, perlu pilihan raya.
“Maknanya tuan-tuan dulu PH menang, Johor tak stabil. Kemudian BN memerintah pun tak stabil. Nampaknya insya-Allah Perikatan Nasionallah yang akan menstabilkan politik di Johor ini,” ujar beliau.
Antara yang menyampaikan ceramah ialah Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Pahang, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari dan calon Perikatan Nasional bagi DUN Simpang Jeram, Ustaz Zarul Salleh.
Turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan pimpinan Perikatan Nasional pelbagai peringkat. – HARAKAHDAILY 5/3/2022











