Bina rumah: Mangsa kebakaran hargai PAS Pontian, NGO

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

PONTIAN: Mangsa kebakaran di Kampung Seri Dungun pada 9 November 2020 lalu menghargai usaha PAS Kawasan Pontian bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membina rumah baharu untuk mereka.

Pada kejadian yang berlaku sekitar jam 6.00 pagi itu, lima buah rumah termasuk dua yang didiami ibu tunggal musnah keseluruhan.

PAS kawasan menerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas Dun Pulai Sebatang dan Pertubuhan Amal Kebajikan Daerah Pontian (Pakat) mengambil inisiatif mendapatkan dana bagi membantu mangsa kebakaran membina rumah baharu.

- Advertisement -

Beberapa NGO tampil menghulurkan sumbangan bagi tujuan itu termasuk Muslim Care, Yayasan Amal, Jemaah Taman Suria Johor Bahru dan Persatuan Ibu Bapa Sekolah Kebangsaan Pontian Besar.

Hisham Adon, 49, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan bantuan sehingga dapat membina semula rumah baharu.

Hisham Adon

“Saya ucap berbanyak-banyak terima kasih kepada NGO-NGO kerana mengambil berat kepada masalah yang saya hadapi ini untuk menyediakan tempat tinggal selepas berlaku musibah itu,” ujarnya yang mempunyai enam anak berusia lima hingga 12 tahun.

Menurutnya, rumah baharu hasil daripada sumbangan NGO berkenaan dapat disiapkan dalam masa tiga bulan.

“Selepas kebakaran, ada penduduk yang beri sewa rumah kepada saya dan keluarga,” ujarnya yang mengalami kerugian kira-kira RM70,000 susulan kebakaran itu.

Beliau bagaimanapun melahirkan kesyukuran kepada Allah kerana semua ahli keluarganya selamat.

Manisah Mat Som

Manisah Mat Som, 77, memberitahu ketika kejadian, dia mendapati rumahnya dipenuhi asap daripada rumah sebelah yang sudah terbakar.

“Masa tu saya dah bangun, rumah penuh dengan asap dari rumah sebelah, jadi saya keluar rumah untuk selamatkan diri. Masa tu saya duduk seorang sahaja,” ujarnya yang ditemani dua orang cucu.

Beliau turut menghargai sumbangan dan bantuan daripada semua pihak yang terlibat membina rumahnya yang baharu.

“Saya ucap berbanyak-banyak terima kasih kepada Haji Ibrahim (Setiausaha Pakat) yang banyak tolong.

“Saya hargai pihak yang beri sumbangan dan usaha bina balik rumah, beri bantuan barangan keperluan tidur dan dapur,” katanya.

Minah Jamak

Minah Jamak, 74, melahirkan kesyukuran ada pihak yang membantu menyediakan rumah baharu di atas tanah rezab Jabatan Pengairan dan Saliran itu.

Beliau yang tinggal di situ sejak 10 tahun lalu juga mengucapkan terima kasih di atas sumbangan tersebut.

Katanya, rumah itu disiapkan dalam masa sebulan oleh tukang setempat dengan dibantu anggota keluarga.

“Upah tukang pun kira macam tolong saja, siapkan dalam masa sebulan, saudara-saudara juga tolong bantu membina rumah ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas Dun Pulai Sebatang, Ustaz Abdullah Husin turut menemui dan bertanya khabar keadaan mereka pada program ziarah, baru-baru ini.

Ustaz Abdullah menyantuni kanak-kanak semasa menziarahi penduduk Kampung Seri Dungun.

Beliau yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional di DUN Pulai Sebatang berkata Puan Manisah meluahkan rasa syukur dan berterima kasih mengenai rumahnya yang telah siap.

Pada Pilihan Raya Negeri Johor kali ini, beliau berhadapan dengan Suhaizan Kaiat (PH-Amanah), Hasrunizah Hassan (BN-Umno) dan Abd Rashid Abd Hadi (Pejuang).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian manakala pengundian awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 2/3/2022

- Advertisement -