Psikologi mangsa banjir di Sungai Rambai semakin pulih

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE | Foto ABU ANAS

JASIN:
Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Pusat, Dr Rosni Adam berkata, mangsa-mangsa banjir di Sungai Rambai, dilihat sudah semakin baik dan pulih dari segi emosi mereka.

Menurutnya, ini dapat dilihat melalui perbualan-perbualan dengan mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekitar kawasan ini.

- Advertisement -

“Alhamdulillah saya lihat keadaan mereka bertambah baik. Dan saya nampak penerimaan mangsa-mangsa ini dari segi psikologi nampak boleh terima keadaan ini.

“Dan insya-Allah kita mendoakan agar Allah SWT meringankan beban mereka dan membantu memberi kekuatan dan pertolongan kepada mereka di saat-saat sukar ini. Dan seterusnya sentiasa bergantung diri kepada Allah SWT,” ujarnya.

Dr Rosni berkata demikian kepada Harakahdaily selepas melakukan lawatan bagi menyerahkan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu dan Sekolah Kebangsaan Seri Mendapat di Sungai Rambai, Jasin, petang semalam.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Pengerusi LKK Perhubungan PAS Melaka, Mohsin Ibrahim, Pengerusi LKK DMP negeri, Nur Rafidah Rosli Abd Karim Kassim, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Abdul Karim Kassim dan Ketua LKK Kawasan Jasin, Sophia Ahmad.

Dalam lawatan itu, beliau bersama-sama dengan Pengerusi Lajnah Kesihatan, Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Reen Mohd Amin, sempat beramah mesra di samping memberikan bantuan kaunseling bagi mengembalikan semangat mangsa-mangsa banjir ini.

Tambah beliau lagi LKK PAS Pusat juga telah membuat kutipan berterusan dana bagi membantu operasi bencana yang sedang berlaku sekarang.

“Setakat ini ada tiga jenis bencana yang datang serentak. Yang pertamanya, banjir. Yang keduanya ada bencana tanah runtuh yang berlaku di Kuala Lumpur. Kemudian juga berlaku bencana kebakaran yang tular itulah.

“Dan (kejadian) kebakaran banyak juga berlaku di tempat-tempat lain antaranya di Sabah. Dan tabung itu akan berterusan bagi membantu meringankan beban mereka,” ujarnya lagi.

Menurutnya lagi, LKK PAS Pusat juga mempunyai insurans berkelompok SkimPAS yang bertujuan untuk menjaga kebajikan aktivis dan sukarelawan parti yang sentiasa bekerja keras membantu masyarakat terutama semasa bencana.

“SkimPAS  ini untuk melindungi ahli-ahli terutama sekali para aktivis, sukarelawan, yang sentiasa ‘on call’. Bila berlaku bencana, mereka antara orang pertama yang datang membantu.

“Jadi menjadi tanggungjawab bagi saya sebagai Pengerusi Lajnah Kebajikan Dan Kemasyarakatan PAS Pusat, selain daripada kita membantu masyarakat, kita juga kena jaga menjaga kebajikan ahli dan aktivis kita,” ujar beliau.

Kejadian banjir gelombang kedua yang berlaku bermula 1 Januari lepas melibatkan 32 kawasan di seluruh Melaka dengan 14 di Alor Gajah dan masing-masing sembilan di Melaka Tengah dan Jasin. – HARAKAHDAILY 10/1/2022

- Advertisement -