2 lelaki bersenjata kumpulan ‘Adik Mat’ ditembak polis

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Polis Kelantan menembak mati dua lelaki yang merupakan ketua dan ahli kumpulan ‘Adik Mat’ dalam kejadian berbalas tembakan di kawasan kebun getah di Batu Papan, Gua Musang.

Kedua-dua lelaki berusia 29 dan 26 tahun itu mati di tempat kejadian selepas bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, suspek terbabit merupakan suspek yang dikehendaki polis berkaitan kejadian samun bersenjata api, ugutan jenayah dan kegiatan pengedaran dadah yang aktif sejak tiga tahun lalu.

- Advertisement -

Katanya, hasil serbuan itu polis menemui dua pucuk pistol jenama LLama semi auto dan revolver selain 41 peluru hidup, tujuh kelongsong peluru dan 1,200 pil kuda yang bernilai RM1,200.

“Bertindak atas maklumat jam 11.30 pagi semalam, sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang membuat serbuan di sebuah pondok dua tingkat di kawasan hutan Kampung Batu Papan.

“Ketika tiba di pondok tersebut pasukan polis nampak seorang lelaki berada di tangga pondok tersebut dalam keadaan mencurigakan, kemudian lelaki itu melarikan diri.

“Manakala, seorang lelaki lagi terjun dari tingkat dua pondok itu dan melarikan diri sambil membawa beg berwarna hitam dan satu lagi berwarna pink sert,” katanya pada pemberita sidang media di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Shafien berkata, kejayaan itu sekaligus dapat menyelesaikan kira-kira lapan kes jenayah samun di Kelantan, selain melumpuh kegiatan haram berkenaan.

Katanya juga kedua-dua suspek terbabit didapati mempunyai rekod lampau narkotik termasuk jenayah lampau yang dikehendaki pihak polis.

“Suspek berusia 29 tahun merupakan ketua kumpulan terbabit mempunyai tiga rekod jenayah dan sembilan kes narkotik. Manakala, seorang lagi berusia 26 tahun mempunyai sebanyak empat rekod lampau narkotik,” katanya.

Susulan itu menurutnya polis percaya masih ada saki-baki kumpulan berkenaan dan akan memburu mereka.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan suspek sebelum ini cuba merekrut ahli baru untuk melakukan jenayah.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Kesiksaan, 8 Akta Senjata api Penalti Lebih Berat 1971, 8 (A) Akta Senjatapi 1960. – HARAKAHDAILY 28/12/2021

- Advertisement -