
PAYA BESAR: Kelab Sosial dan Kebajikan Paya Besar mengubat kerinduan anak muda terhadap sukan bola sepak dengan menganjurkan Cabaran Penalti DUN Panching 2021 di Padang Awam Taman Tas, di sini bermula Ahad.
Kejohanan dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Panching serta diurusetiakan oleh Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) Pemuda PAS Kawasan Paya Besar ini menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM6,500.
Program ini juga satu usaha menyemarakkan aktiviti sihat dalam kalangan masyarakat setelah hampir satu tahun tidak dapat melaksanakan kegiatan sosial dan sukan terbuka akibat kekangan pandemik COVID-19.
Pengerusi Kelab Sosial dan Kebajikan Paya Besar, Mohd Fitri Abdullah berkata, penganjuran ini juga satu riadah untuk mendekati bakat-bakat muda di mana 60 pasukan berdaftar akan berentap di empat zon yang telah ditetapkan.
Empat zon tersebut adalah Zon Kampung Panching, Zon Gugusan FELDA Panching, Zon Taman Tas dan Zon Permatang Badak sebelum 32 pasukan terbaik akan berentap di Grand Final dijadualkan pada 21 November depan.
ADUN Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya ketika merasmikan kejohanan ini dan menyantuni anak-anak muda berkata, hadiah ditawarkan bukanlah keutamaan, tetapi bagi mengumpulkan anak muda untuk saling mengenali.
Juara zon akan membawa pulang wang tunai RM350 dan hamper, manakala RM200 dan hamper untuk naib juara, serta tempat ketiga RM100 dan hamper, sementara tempat keempat RM50 dan hamper, selain bagi kelima hingga kelapan menerima hamper.
Hadiah utama di Grand Final pula membolehkan juara membawa pulang RM1,000, naib juara RM700, ketiga RM500 dan keempat RM300 dengan semua pasukan juga menerima bola, manakala tempat kelima hingga ke lapan membawa pulang hamper. – HARAKAHDAILY 17/11/2021






















