Kempen norma baharu: Calon, petugas mudah sesuai diri

Rafiei Mustapha
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

MELAKA:
Petugas, jentera parti dan calon Perikatan Nasional daripada PAS dilihat tiada masalah menyesuaikan diri dengan kempen norma baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha, berkata jentera parti yang datang membantu kempen untuk calon Perikatan Nasional pada PRN Melaka begitu komited dengan tugas mereka.

Katanya, bilik gerakan dari jentera Negeri Sembilan iaitu DUN Kuala Linggi dan Taboh Naning  beroperasi secara berterusan.

- Advertisement -

“Saya ada tanya pada Cikgu Aziah, dia kata Alhamdulillah jentera cukup membantu dan benar-benar memberikan komitmen penuh bagi memastikan semua aktiviti dijalankan mengikut SOP (prosedur operasi standard).

“Gerak kerja mereka menghantar bahan kempen rumah ke rumah dan juga membuat culaan (panggilan telefon),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily bersama calon Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, Cikgu Abu Hashim Abdul Samad, di Masjid Al Hidayah, di Taboh Naning, di sini, malam tadi.

Sementara itu katanya, di Bilik Gerakan Perikatan Nasional Taboh Naning pula beliau medapati jentera turut giat berkempen melalui platform media sosial.

Katanya lagi, walaupun berdepan dengan cabaran baharu dalam berkempen, namun jentera parti dan calon mudah menyesuaikan diri dengan situasi itu.

“Mereka dengan serta merta dapat mencari kaedah pendekatan yang sesuai untuk yang dibenarkan ikut SOP baru untuk berkempen.

“Saya nampak tiada masalah dengan SOP baharu walaupun memang semua akan rasa kekangan dengan SOP terlalu ketat,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/11/2021

- Advertisement -