Jawatan TPM, Kabinet: Serah pada perbincangan Pengerusi PN dengan PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah tertakluk pada perbincangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata PN menyerahkan sepenuhnya pelantikan jawatan tersebut kepada dua pemimpin berkenaan.

- Advertisement -

“Kami tak bincang (jawatan TPM), kabinet, kami serah kepada Pengerusi PN untuk tentukan, bincang dengan Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PN di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas adakah terdapat perbincangan dalam PN untuk menamakan jawatan Timbalan Perdana Menteri daripada kalangan pemimpin Bersatu.

Mesyuarat tersebut berlangsung kira-kira dua jam dan dipengerusikan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu serta turut dihadiri Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mengenai khabar angin jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diisi daripada kalangan pemimpin Bersatu, Ahmad Faizal berkata:

“Alhamdulillah, terima kasih kalau nak bagi (jawatan Timbalan Perdana Menteri) kepada Bersatu tapi yang penting satu kabinet yang dibentuk sebagai satu pasukan untuk selamatkan negara keluar daripada kemelut yang kita alami (Covid-19). “

“Pengerusi akan bincang dengan PM dan saya percaya PM akan buat keputusan yang betul,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan adakah kerajaan baharu ini masih kerajaan PN, Ahmad Faizal berkata ia masih kekal kerajaan PN.

“Pada kami (PN) ini kerajaan PN, secara matematik kami ada 77, kawan sebelah (Barisan Nasional) ada 41, kami percaya kami mewakili kerajaan PN,” katanya.

Ahmad Faizal juga berkata PN akan memberi sepenuh sokongan kepada kerajaan yang akan dibentuk oleh Ismail Sabri di samping sokongan padu kepada Pengerusinya, Muhyiddin.

“Kami akan meneruskan usaha persiapsiagakan PN untuk hadapi PRU (Pilihan Raya Umum), jentera parti dan kerjasama parti komponen akan diperkukuh,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin dalam satu hantaran di laman Facebooknya berkata PN yang terdiri daripada 50 orang Ahli Parlimen dan tiga Ahli Parlimen Bebas akan terus komited menyokong dasar dan perancangan kerajaan menjayakan Pelan Pemulihan Negara, mengutamakan kebajikan rakyat serta menjamin kelangsungan negara.

“Mesyuarat juga telah membincangkan secara mendalam senario politik semasa negara dan mendengar serta mengambil maklum semua pandangan parti-parti komponen bagi memperkukuh kerjasama politik dan membuat persiapan rapi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya.

Selain Abdul Hadi, Muhyiddin berkata mesyuarat yang telah mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu juga turut dihadiri Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee dan Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Turut hadir katanya Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta wakil-wakil parti komponen. – BERNAMA

- Advertisement -