Kelantan bimbang tengkujuh jejas program vaksinasi

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kerajaan negeri merayu Kementerian Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) supaya mempercepatkan suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kebimbangan itu berpandukan musim tengkujuh yang dijangka memburukkan lagi situasi penularan wabak itu di Kelantan.

Menurutnya, sehingga kini kira-kira 28.5 peratus daripada jumlah penduduk yang mendaftar iaitu 825,734, sudah menerima dos pertama manakala lebih kurang 13 peratus mendapat dos kedua.

- Advertisement -

“Sebab itu kita mohon kepada Mosti untuk dapatkan satu juta dos vaksin, kalau dapat kita berupaya melaksanakan 33,000 suntikan sehari di 27 Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Kita mohon dengan kebimbangan untuk hadapi musim tengkujuh tidak lama lagi, apabila tiba kelak kita belum dapat lagi 80 peratus, imuniti kelompok, kita bimbang keselamatan nyawa rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran bulan kebangsaan dan kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di perkarangan Mabna MBI Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Sambutan bulan kebangsaan dan kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Kelantan pada tahun ini bertemakan Malaysia Prihatin sesuai dengan suasana negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Ahmad yang juga Adun Pasir Pekan berkata situasi perkembangan Covid-19 sekarang menyebabkan hasrat Kelantan untuk beralih ke Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) semakin sukar.

Malah beliau berkata, kerajaan negeri komited untuk melakukan usaha terbabit sekaligus mengiringi jejak langkah Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang kini memasuki fasa seterusnya.

Mana-mana negeri perlu mencapai syarat ditetapkan seperti peratusan vaksinasi yang tinggi, situasi unit rawatan rapi (ICU) yang terkawal dan jumlah kes harian yang menurun, katanya.

Kerajaan negeri juga berharap rakyat dapat mengambil pengajaran terhadap situasi di negara yang sudah mencapai imunisasi kelompok, namun masih ada rakyatnya dijangkiti wabak tersebut. – HARAKAHDAILY 8/8/2021

- Advertisement -