
Oleh Dr Aspalilah Alias dan Prof Madya Dr Nik Rosmawati Nik Husain
Sempena hari bapa sedunia ini, sudah pasti jasa dan pengorbanan seorang bapa hendaklah dikenang dan diingati. Pengorbanan dan jasa seorang bapa yang hebat dapat melahirkan keluarga yang juga hebat dan cemerlang. Bapa yang merupakan ketua dalam sesebuah keluarga amatlah penting dalam menentukan arah tuju dan matlamat keluarga yang dibina.
Bermula daripada pemilihan isteri dan permulaan awal perkahwinan sehingga dikurniakan anak-anak dalam keluarga, semuanya mempengaruhi corak pertumbuhan sesebuah keluarga. Sudah pasti hebatnya sesebuah keluarga akan melahirkan masyarakat yang hebat dan seterusnya dapat memajukan negara dengan aman dan makmur.
Mutakhir ini, kita didatangi dengan wabak COVID-19 seterusnya meragut banyak nyawa dan menyebabkan tamparan yang hebat kepada ekonomi dan keadaan kehidupan manusia. Ia bukan sahaja memberi kesan dan impak kepada masyarakat di Malaysia sahaja malah menyebabkan kesan yang besar ke seluruh dunia.
Keadaan ini menyebabkan wujudnya kerisauan yang sangat tinggi kepada bapa-bapa yang merupakan ketua dalam keluarga. Ia menjadi semakin rumit apabila ramai bapa kehilangan pekerjaan yang disebabkan oleh PKP yang berpanjangan. Bantuan yang diberi sudah pasti tidak dapat menambung perbelanjaan harian yang melambong tinggi.
Anak-anak perlu makan, pakaian, tempat tinggal yang kondusif, sistem internet dan komputer yang bagus untuk pembelajaran PdPR dan ketenangan hidup apabila berada dalam rumah. Seorang bapa mithali perlulah melengkapkan nafkah zahir dan juga batin kepada keluarganya. Bukan sahaja perlu menyediakan perbelanjaan fizikal malah juga perlu memahami masalah mental dan spiritual isteri dan anak anak.
Kita juga dikejutkan dengan pelbagai kes keganasan rumah tangga, masalah sumbang muhrim, masalah kecurian, masalah pergaduhan serta pembunuhan, masalah dadah, ketagihan gadget dan ponografi, serta pelbagai masalah yang muncul dalam sesebuah keluarga yang tidak harmoni. Apabila seorang bapa tidak menjalankan fungsinya yang maksimum menyebabkan hancurlah sesebuah keluarga dan memberi kesan kepada negara. Keadaan lebih parah apabila seorang bapa sendiri yang menjadi perosak keluarga dan rumahtangga.
Rasullullah SAW merupakan bapa mithali dan idola yang sepatutnya kita contohi dalam membangunkan jiwa anak-anak. Rasullullah SAW sentiasa bersahabat dengan anak-anak dan cucu-cucunya dengan sering menemani mereka tanpa merasa susah dan hina. Baginda sentiasa memberi galakan dan motivasi serta pujian kepada anak-anak dan cucunda baginda dengan memberi kata-kata semangat dan peransang dalam membangunkan diri mereka supaya menjadi yang terbaik.
Anak-anak seperti kain puteh, ibu bapalah yang mencorakkannya. Nabi Muhammad SAW sentiasa berusaha menggembirakan anak-anak dan cucu-cucu baginda dengan melayan mereka dengan baik, mencium, mengusap kepala, memberi makan yang halal dan baik serta makan bersama dengan mereka. Malah ada ketikanya, baginda mendukung cucunya ketika melakukan solat. Bilamana ada cucunya menaiki belakang baginda ketika solat, baginda sedikitpun tidak marah.
Baginda juga sering mewujudkan daya saing dalam kalangan anak-anak. Ganjaran juga diberikan sebagai motivasi dan semangat kepada anak-anak. Anak-anak akan merasai erti kebersamaan dan erti kejayaan apabila menang dan kekecewaan apabila kalah. Anak-anak diasuh untuk bangkit apabila gagal dan bersyukur dengan nikmat yang Allah beri apabila berjaya. Baginda juga pernah berlumba dengan anak-anak serta mengajar pidato kepada anak-anak menyebabkan anak anak bersemangat dan kekal bermotivasi.
Bapa yang baik juga perlulah memberi pujian kepada anak-anak apabila mereka melakukan kebaikan. Bapa juga perlu mewujudkan aktiviti bergurau senda. Bergurau ini dapat meningkatkan potensi diri yang terpendam. Seperti sabda Nabi Muhammad SAW, “Barangsiapa yang mempunyai anak kecil, hendaklah dia bergurau senda,” (Riwayat Ibnu Asakir).
Bapa yang mithali juga perlu bijak dalam mengasah potensi diri anak-anak dengan memberikan kepercayaan sosial dalam melakukan kerja rumah, berinteraksi dengan rakan-rakannya dan orang dewasa. Bapa juga hendaklah memberi galakan kepada anak-anak meroka pelbagai jenis ilmu dalam melengkapkan diri mereka dalam kehidupan.
Masa yang ada terutamanya sepanjang PKP ini perlulah juga dimanfaatkan sepenuhnya dengan aktiviti bersama seperti solat secara berjemaah, membaiki bacaan al Quran anak-anak, mewujudkan majlis ilmu dan perbincangan ilmiah dalam kalangan ahli keluarga, makan bersama serta beriadah bersama-sama dalam merapatkan kefahaman dan silatulrahim antara ahli keluarga. Apa yang penting adalah untuk menunjukkan teladan yang terbaik kepada anak-anak.
Dari Abu Huhairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”. (Riwayat Muslim).
Maka peliharalah anak-anak sebaik mungkin. Merekalah harta paling mahal yang ada pada ibu bapa. Baiknya anak seorang, sudah pasti salah satu faktornya adalah teladan yang baik daripada ibu bapa yang mencorakkan anak-anak. Moga Allah SWT memberi hidayah dan petunjuk kepada bapa bapa dalam menterajui keluarga yang mawaddah, sakinah dan warahmah.Wallahualam.
Dr Aspalilah Alias (DDS,MMEDSC,PhD) adalah Pensyarah Anatomi di Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Prof Madya Dr Nik Rosmawati Nik Husain (MD, MCM, PhD) adalah Pensyarah Perubatan di Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM).











