
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Kekayaan hasil laut di Selatan Pulau Pinang bukan hanya dinikmati oleh nelayan di Pulau Pinang sahaja, bahkan nelayan di neegri sekitarnya, kata Ketua Nelayan Unit Sungai Batu, Zakaria Ismail.
Menurutnya, berdasarkan pengalaman beliau, nelayan-nelayan dari lokasi lain sanggup untuk datang ke Selatan Pulau Pinang untuk memukat hasil laut di situ.
Bahkan kata Zakaria, nelayan Pulau Pinang yang terjejas akibat penambakan di Tanjung Tokong, Seri Tanjung Pinang (STP) 1 dan 2 juga mencari rezeki di situ.
“Sebenarnya, kawasan Pulau Pinang Selatan ini, bukan nelayan Pulau Pinang Selatan dan Pulau Pinang sahaja yang memukat di kawasan ini.
“Adakala nelayan-nelayan dari Kedah, Langkawi pun sanggup datang ke sini untuk memukat ikan yang paling famous, ikan kembung, yang paling pemburu-pemburu ikan mencari.
“Datang dari Langkawi, Kedah dan juga Perak, mereka datang sebagai gerombolan. Saya tengok, kalaulah kita boleh tengok masa depa datang itu, seperti satu angkatan tentera datang untuk menyerang atau memburu, seronok kita tengok.
“Sebab itu (penting) menggunakan enjin yang laju, sampan yang besar, mereka membawa tong ikan.
“Pernah satu masa, nelayan dari Seberang Perai Selatan hampir karam sampannya dek kerana ikan hasilan laut terlalu banyak,” ujarnya sambil tersenyum.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat nelayan luar datang memukat bersama di Selatan Pulau Pinang, dalam temubual Program 1 Jam Bersama Alam Siri ke-19, Penambakan Laut dan Kesannya kepada Nelayan, semalam.
Tambah Zakaria, sebelum Malaysia dilaksanakan Perintah Kawasan Pergerakan (PKP) baru-baru ini, terdapat sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menziarahi Pulau Kendi.
Diceritakan NGO tersebut, mereka telah bertembung dengan satu kumpulan ikan kembung yang begitu banyak dan besar sehingga nampak seperti hujan apabila ikan-ikan itu menyedut oksigen.
“Laut ini tiada had, di mana ada hasilan laut yang banyak, di situ kita (nelaya) akan tumpu. Tidak kira bangsa, tidak kira agama, janji nelayan itu mematuhi peraturan yang kita tetap,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 25/6/2021











