Kedah sokong penuh ‘total lockdown’

Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah menyokong penuh langkah Majlis Keselamatan Negara (MKN) melaksanakan total lockdown fasa pertama seluruh negara.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu terpaksa dilakukan berikutan peningkatan kes Covid-19 yang sangat membimbangkan.

“Kita tidak ada pilihan selain total lockdown kerana peningkatan kes baharu Covid-19 semakin meningkat dan membimbangkan,” ujar beliau dalam satu kenyataan media, hari ini.

- Advertisement -

Total lockdown fasa pertama itu akan berkuatkuasa pada 1 sehingga 14 Jun dan membabitkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi seluruh Malaysia.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri malam tadi, sepanjang tempoh itu semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan disenaraikan MKN.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.

Setakat semalam, seramai 2,552 orang telah meninggal dunia akibat wabak itu dan jumlah kematian semakin meningkat.

Sementara itu, Sanusi mengharapkan agar kempen vaksinasi terus dipertingkatkan dan kepada yang belum mendaftar dinasihatkan agar segera bertindak.

“Segeralah mendaftar untuk vaksinasi dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan bersungguh-sungguh untuk keselamatan semua,” tambahnya lagi.

Semalam, Kedah mencatatkan 544 kes positif dan merupakan antara yang tertinggi setakat ini. – HARAKAHDAILY 29/5/2021

- Advertisement -