
KOTA BHARU: Biarpun ada peniaga dikenakan kompaun RM50,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Ramadan lepas, namun mereka diberi diskaun.
Sebaliknya tiga peniaga terbabit hanya perlu membayar kompaun sebanyak RM2,000 selepas mereka mengemukakan rayuan.
Malah Jabatan Kesihatan juga memberi lagi potongan apabila dapat mengesahkan mereka golongan B40.
Diskaun itu diberi kepada peniaga burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, peniaga colek Mohd Azizi Mohd Nor, 42 dan peniaga kedai runcit, Mansah Marjurin, 47.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin, Wan Mohd Faisal dikompaun RM2,000 mengikut garis panduan dan tidak boleh dikurangkan memandangkan beliau melakukan kesalahan kedua.
Manakala katanya bagi peniaga colek dan kedai runcit kompaun dikeluarkan RM2,000 namun sekiranya dibayar dalam tempoh tujuh hari, mereka akan mendapat pengurangan 50 peratus.
“Dan sekiranya mereka disahkan terdiri daripada golongan B40, mereka layak mendapat 50 peratus lagi pengurangan,” katanya di sini.
Pada 25 April lepas peniaga terbabit dikompaun kerana berniaga lebih masa ketika tempoh PKP.
Berikutan tular berita tersebut menyebabkan banyak pihak memberi respons termasuk Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Malah banyak pihak tampil membantu termasuk Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Mohd Ariff Abdullah yang turut bersama peniaga terbabit ketika membuat rayuan di Jabatan Kesihatan Daerah Kota Bharu.
Dr Zaini juga berkata, nilai kompaun yang perlu dibayar peniaga colek dan kedai runcit itu hanya RM500 sahaja.
Menurutnya juga Unit Inspektorat dan Perundangan Negeri sudah menerima balik kes yang dihantar berkenaan kompaun RM50,000. – HARAKAHDAILY 26/5/2021











