Umat Islam Palestin adalah umat yang kuat

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Nuridah Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Nuridah Mohd Salleh pada Muktamar DMPM kali ke-60
- Advertisement -

ALHAMDULILLAH semalam ustazah telah selesai bersembang santai bersama Saudara Nadir al-Nuri yang merupakan CEO Cinta Gaza Malaysia dan juga anak muda Malaysia yang berada di Gaza.

Antara yang ustazah dapati daripada sembang santai ini ialah,

1) Benar apa yang dinyatakan oleh al-Quran bahawa akan senantiasa ada golongan yang sanggup berkorban apa sahaja dan tiada takut celaan orang-orang yang mencela, kerana mengharapkan keredhaan dan syurga Allah semata-semata.

Inilah yang ditunjukkan oleh umat Islam Palestin, insya-Allah. Mereka tiada gentar bahkan sentiasa merindui syahid.

- Advertisement -

2) Umat Islam Palestin adalah umat yang kuat. Realiti ini dapat kita saksikan daripada sejarah perjuangan mereka membebaskan bumi Palestin. Walaupun mereka diserang, ada yang dbunuh, dipukul dan pelbagai lagi bentuk keganasan yang berterusan dalam sepanjang tempoh lebih 70 tahun, tetapi mereka tetap teguh menghadapi Zionis Israel.

Sekiranya mereka lemah, sudah tentu mereka telah lenyap dan pupus daripada dunia ini. Kerana mereka menghadapi lawan yang bukan sembarangan orang. Lawan mereka adalah Zionis Israel yang tulang belakang mereka adalah Amerika Syarikat.

Tetapi kita boleh lihat walaupun keadaan mereka yang daif, tidak cukup makan dan keadaan rumah mereka yang hanya cukup sekadar menjadi tempat berlindung dari hujan panas tetapi mereka masih tetap kuat dan berani untuk berdepan dengan pengganas Zionis Israel.

Ianya patut menjadi contoh tauladan kepada kita agar tetap berpegang teguh kepada kebenaran, insya-Allah kita akan dikuatkan Allah. Insya-Allah akhirnya mengikut Sabda Baginda saw memang umat Palestin itu akan terbebas daripada Yahudi laknatullah. Kaum Yahudi Zionis itu sendiri juga akan turut musnah.

3) Seterusnya diceritakan antara kewibawaan umat islam Palestin adalah tradisi mereka yang mengutamakan al-Quran. Ramai dalam kalangan mereka khususnya anak-anak mengambil masa dalam tempoh dua bulan sahaja untuk menghafaz seluruh ayat-ayat al-Quran.

Dalam keadaaan mereka ditekan, mereka tetap mendahulukan al-Quran. Jadi, memang lah sesuatu bangsa, sesuatu kaum, sesuatu umat yang mendahulukan al-Quran dalam hidupnya insya-Allah akan diberikan kekuatan dan kemuliaan oleh Allah. Dunia sangat respect dengan apa yang telah mereka lalui dan ketahanan yang ada pada mereka.

4) Perjuangan kaum wanita Palestin yang turut berusaha membebaskan negara tercinta. Mereka lahir dalam perjuangan. Membesar dalam keadaan melihat ahli-ahli keluarga, khususnya kaum lelaki, samada datuk, bapa, suami, abang atau adik, keluar menjaga sempadan, berjihad dan tidak kembali.

Mereka melalui proses pelaksanaan dakwah dan tarbiyah jemaah Islam dengan mendekati penduduk, memperkasa program kebajikan dan pelbgai budaya amar makruf nahi munkar. Merekalah srikandi yang berperanan besar dalam mentarbiyah anak-anak dengan perjuangan menuntut kemerdekaan Palestin.

Kaum wanita ini jugalah yang mengasuh dan mendekatkan anak-anak dengan Al-Quran. Dan yang paling membuatkan ustazah lebih terkelu dan malu apabila diceritakan oleh saudara Nadir seorang wanita Palestin ini apabila dia berkahwin, dia menyerahkan suaminya kepada jalan Allah dan agama.

Buat akhirnya mudah-mudahan apa yang dikongsi dalam sembang santai ini, akan menjadi motivasi kepada kita terutama dalam kita berinteraksi dan melayani al-Quran. Mudahan kita rasa malu melihat keadaan umat Palestin yang begitu tertekan dalam banyak hal tetapi masih lagi mengutamakan al-Quran dalam hidup.

Hal ini antara asbab mereka menjadi anggota tentera yang digeruni. Kekuatan dalaman mereka itu sendiri sebenarnya menakutkan Israel walau hanya berlawan dengan lemparan batu-batu.

Namun menerusi video-video ditunjukkan betapa penakutnya Zionis Israel dan tentera-tenteranya. Mereka kelihatan gah apabila mereka berdepan dengan orang yang lemah, yang tiada senjata tetapi ketakutan dengan bunyi bom daripada tentera Al-Qassam. Ini petanda umur Zionis Israel tidak panjang lagi, Amin.

SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) – HARAKAHDAILY 25/5/2021

- Advertisement -