
KAMI, pakar perbidanan Islam dan ahli berdaftar Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM) ingin menyangkal kenyataan yang dibuat oleh Ahli Majlis OGSM 2022/2023 pada 5 Disember 2022 berkaitan pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Terengganu baru-baru ini.
Kami berpendapat bahawa kenyataan ini dibuat dalam keadaan tergesa-gesa sebelum mendapatkan pandangan dari ahli pertubuhan yang beragama Islam dan yang paling utama, sebelum mendapatkan penerangan penggubal enakmen berkenaan.
Ini amat penting kerana perkara ini berkaitan dengan undang-undang Islam, yang hanya terpakai kepada orang Islam, dan juga merupakan cerminan pegangan dan kepercayaan kepada agama kami, yang dilindungi oleh perlembagaan.
Untuk mendapatkan lebih pencerahan mengenai perkara ini, beberapa ahli telah menghadiri libat urus dengan penggubal Enakmen Syariah negeri Terengganu dan secara kolektif, kami telah membuat kesimpulan berikut:
1. Kehamilan yang terbaik ialah kehamilan yang dirancang dan dinantikan, justeru pentingnya penjagaan prakehamilan untuk memastikan kesihatan dan persekitaran sosial ibu optimum sebelum hamil. Pastinya, kehamilan luar nikah tidak menepati ciri-ciri ini dan tidak digalakkan dari sudut perubatan.
2. Perkahwinan adalah asas kepada mana-mana masyarakat di mana daripadanya, keluarga dibina dan anak-anak dilahirkan ke dunia. Pernikahan yang sah adalah penting dalam melindungi keturunan di dalam Islam, yang merupakan salah satu tujuan utama perundangan syariah, iaitu maqasid syariah.
3. Melindungi nasab atau keturunan dalam Islam berfungsi untuk menjaga hak asasi kanak-kanak, yang antara lain menjamin hak mereka untuk mendapat harta pusaka, penting dalam menentukan mahram dan dalam masyarakat kita yang suka menghakimi, mencegah stigma anak luar nikah. Perlindungan ini juga secara tidak langsung memelihara hak wanita yang sah berkahwin terutamanya dalam soal nafkah apabila ikatan perkahwinan tidak berkekalan.
4. Peruntukan undang-undang syariah berkaitan hamil luar nikah telah pun dilaksanakan seawal 1985, di sekurang-kurangnya lapan negeri lain di Malaysia sebelum pindaan Enakmen Syariah Negeri Terengganu, yang berada dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh perlembagaan.
5. Sama seperti cadangan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang dibentangkan ,baru-baru ini, banyak proses perlu dilakukan sebelum enakmen ini boleh dilaksanakan. Masa yang mencukupi akan diberikan untuk merangka butiran teknikal, dengan mengambilkira pandangan pelbagai pihak termasuk dari bidang perubatan. Selain itu, pendidikan orang ramai berhubung pindaan ini akan diteruskan, serta usaha holistik berterusan kerajaan negeri Terengganu untuk membendung aktiviti khalwat dan yang berkait dengannya.
6. Butiran terperinci enakmen ini menunjukkan ia hanya terpakai kepada mereka yang berumur 16 tahun dan ke atas, serta hamil atas kerelaan mereka sendiri. Peruntukan kes rogol terletak di bawah bidang kuasa mahkamah sivil dan bukannya mahkamah syariah.
7. Hukuman maksimum yang boleh dikenakan ialah penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan. Perlu diwarwarkan bahawa undang-undang syariah pada dasarnya bertujuan untuk menimbulkan kegerunan untuk melakukan kesalahan dan bukannya menghukum. Ini amat penting terutamanya untuk menangani kes pesalah berulangkali hamil, dengan pasangan berbeza, seterusnya menimbulkan beban yang besar kepada ahli keluarga dan perkhidmatan kebajikan masyarakat.
8. Lantaran itu, hakim diperuntukkan kuasa untuk memutuskan hukuman yang paling sesuai dengan keadaan, serta boleh menggunakan budi bicara serta timbang rasa terutamanya untuk pesalah kali pertama, pesalah yang telah bertaubat dan pesalah muda. Pesalah yang berumur di antara 10 dan 16 tahun disifatkan sebagai pesalah muda dan tidak boleh dirotan atau dipenjarakan. Sebagai contoh, Seksyen 68 memperuntukkan kelonggaran di mana sebagai ganti hukuman, pesalah boleh ditempatkan di rumah pemulihan untuk tempoh maksimum enam bulan.
9. Tidak menghairankan, terdapat kes di negeri lain di mana pesalah wanita yang disabitkan bersalah oleh mahkamah syariah telah memilih untuk menerima hukuman sebat sebagai ganti membayar denda, kerana hukuman sebat di bawah undang-undang shariah didapati lebih ringan berbanding hukuman sebat undang-undang sivil.
10. Perlu ditegaskan di sini bahawa sebarang tindakan undang-undang termasuk laporan awal hanya boleh dilakukan selepas kelahiran anak yang dikandung. Dengan demikian, tiada gangguan kepada proses kehamilan serta jagaan antenatal yang diperlukan ibu. Sebarang kebimbangan mengenai stigma dan peminggiran oleh masyarakat adalah tidak berasas.
11. Kami juga ingin menekankan bahawa pindaan syariah ini mempunyai peruntukan untuk bukan sahaja mengenal pasti, tetapi menghukum pesalah lelaki yang bertanggungjawab menyebabkan wanita itu hamil. Seperti yang kita sedia maklum, dalam keadaan di mana hubungan itu konsensual, tidak ada peruntukan di bawah undang-undang sivil untuk mendakwa pelaku lelaki, menyebabkan dia dengan mudah boleh bebas bukan sahaja daripada hukuman, malah tanggungjawab kepada ibu dan bayi. Tidakkah pindaan enakmen ini sebenarnya lebih cakna kebajikan wanita dan gadis, terutamanya dalam kes sumbang mahram yang tidak didedahkan, di mana kita kini mempunyai jalan untuk menangani amalan terkutuk dan keji ini.
12. Kami mengambil peluang ini untuk menegaskan bahawa pendidikan dan keprihatinan masyarakat, seiring dengan langkah-langkah holistik yang dilaksanakan kerajaan termasuk peruntukan undang-undang syariah, adalah penting untuk mengurangkan statistik membimbangkan kehamilan luar nikah, seterusnya berupaya menyumbang kepada kesejahteraan ibu dan anak.
Ini adalah kenyataan bersama oleh:
- Prof. Dr. Zainur Rashid bin Zainuddin
- To’ Puan Dr Maziah binti Ahmad Mahidin
- Prof. Madya Dato’ Dr Hamizah Ismail
- Prof. Dr. Zalina Nusee
- Prof. Madya Dr. Mohd Azam Mohd Yusoff
- Datuk Dr Noraihan binti Mohd Nordin
- Dr. Shahril bin Abu Bakar
- Dr. Azha Syahril Azizan
- Dr. Rosilawati binti Abdul Ghani
- Dr. Norashikin binti Abdul Fuad
- Dr. Rusinahayati binti Mokhtarudin
- Dr. Asmah Yun binti Mat Sidek
- Dr. Zamzida binti Yusoff
- Dr. Sukhilmi bin Othman
- Dr. Amilia Afzan binti Mohd Jamil
- Dr. Andi Anggeriana binti Andi Asri
- Dr. Nor Syahaniza Waheeda binti Alias
- Dr. Noraini binti Mulalek
- Dr. Malini binti Mat Napes
- Dr. Karimah binti Mohd
- Dr. Nasuha binti Yaacob
- Dr. Siti Nur Dina binti Ahmad Kamaruddin
- Dr. Mohd Fairudzi Afzanizam bin Salleh
- Dr. Nur Zaireena binti Zainal
- Dr. Norizan binti Kamarudin
- Dr. Siti Farhana binti Md Pauzi
- Dr. Rima Anggrena binti Dasrilsyah
- Dr. Nurul Iftida binti Basri
- Dr. Siti Azlina binti Abdul Karim
- Dr. Zainab Hananah binti Abang Abdullah
- Dr. Habibah binti Abdul Hamid
- Dr. Zulida binti Rejali
- Dr. Wan Norizah binti Wan Musa
- Dr. Rohaida binti Adam
- Dr. Kamarul Azhar bin Kamaruddin
- Dr. Wan Rosmidah binti Wan Abbas
- Dr. Fauziah binti Shari
- Dr. Nor Jumizah binti Abdul Kadir
- Dr. Norliza binti Mohd Ibrahim
- Dr. Liyana Mastura binti Md Jalaluddin
- Dr. Aida binti Othman
- Dr. Nurdhania binti Azhar
- Dr. Zulaikha binti Mohd Zahari
- Dr. Nur Adzlinda binti Kassim
- Dr. Nur Aini binti Mohammad Zain
- Dr. Missdalia binti Mat Kiah
- Dr. Anita Rina binti Ali
- Dr. Haslinda binti Mohd Daud
- Dr. Azalea Khairuddin
- Dr. Hamidah binti Omar
- Dr. Nor Fadzilah binti Mohd Yusof
- Dr. Noor Fidak binti Samsudin
- Dr. Mastura binti Mohd Mokhtar
- Dr. Nurkhairulnisa Abu Ishak
- Dr. Nur Rashidah binti Abd Malik – HARAKAHDAILY 10/12/2022











