KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PUTRA, Shahrulufti Sharif mengecam cadangan untuk kenaikan gaji wakil rakyat seperti yang diutarakan seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan.
Sedangkan rakyat ujarnya, terus bergelut dengan peningkatan kos sara hidup dan kekurangan bantuan sepatutnya di mana kerajaan wajar memberi keutamaan kepada kelangsungan hidup rakyat.
“Bukan kepada keselesaan pemimpin politik yang sedia menikmati pelbagai kemudahan dan faedah. Fakta yang membuktikan ketidakadilan ini adalah kemudahan anggota penguat kuasa diabaikan.
“Banyak aset kerajaan seperti peralatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah usang yang membahayakan keselamatan anggota. Tiada usaha serius daripada wakil rakyat untuk memperjuangkan peningkatan kemudahan ini.
“Krisis ekonomi yang semakin menekan rakyat, subsidi dikurangkan, cukai dinaikkan dan tarif elektrik meningkat menyebabkan kos barangan melambung.
“Peluang pekerjaan semakin berkurang, rakyat terpaksa bertahan dalam ekonomi yang kian mencabar,” kata beliau menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Shahrulutfi turut menempelak ketidakadilan dalam sistem pencen wakil rakyat dan menteri, apabila ada antara mereka menerima pencen berganda daripada jawatan berbeza sehingga mencecah puluhan ribu ringgit sebulan.
“Saya menyeru agar pencen diselaraskan dengan satu jawatan, satu pencen sahaja. Seterusnya, sikap pemimpin yang hanya mementingkan diri sendiri kerana mengutamakan kenaikan gaji mereka tanpa mengambil kira kesusahan rakyat yang semakin parah.
“Perlu ada tanggungjawab dalam dasar yang dilaksanakan, bukan sekadar memastikan keselesaan sendiri. Justeru, PUTRA menuntut agar menghapuskan penerimaan pencen berganda untuk pemimpin.
“Seterusnya, menghentikan agenda menaikkan gaji wakil rakyat yang tidak berpihak kepada rakyat, memastikan dana awam digunakan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan penjawat awam.
“Serta fokus kepada memperbaiki peluang ekonomi dan menstabilkan harga barangan asas,” katanya.
Justeru, Shahrulufti menegaskan bahawa kerajaan perlu lebih realistik dalam menentukan keutamaan dasar negara dan tidak tunduk kepada kehendak segelintir elit politik.
“Kerajaan harus lebih realistik dan berani menetapkan keutamaan dengan betul. PUTRA tidak akan berdiam diri dan akan terus memperjuangkan keadilan bagi seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menggesa kerajaan mempertimbangkan kenaikan gaji wakil rakyat dengan alasan langkah itu penting bagi memastikan pelaksanaan tugas berjalan lebih cekap dan berkesan.
Penolong Setiausaha Armada BERSATU, Mohd Fahim Mohd Farid dalam pada itu berkata, cadangan itu disifatkan tidak logik ketika negara sedang berdepan tekanan kos sara hidup yang amat membebankan.
Selain katanya, rakyat juga berdepan harga barang melambung, subsidi disasar, cukai diperluas dan peluang pekerjaan tidak stabil. – HARAKAHDAILY 16/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!