Hidup harmoni pelbagai kaum jadi agenda PAS

- Advertisement -

SANDAKAN: PAS merupakan parti yang sentiasa meraikan keharmonian masyarakat berbilang kaum termasuk di Sabah di mana memiliki pelbagai etnik dan budaya, demikian kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Sahar Abdul Majid.

- Advertisement -

Perkara itu dinyatakan beliau selaku juga Yang DiPertua PAS Kawasan Sandakan dalam sambutan Pesta Kuih Bulan yang dianjurkan di Pejabat Urusan PAS Sandakan, di sini semalam.

Menurut beliau, kuih bulan itu sendiri merupakan lambang perpaduan, sementara minum teh menandakan keharmonian antara masyarakat berbilang agama dan inilah yang sentiasa ditekankan oleh PAS.

“Perpaduan di dalam PAS sudah lama diterapkan apabila PAS sebuah parti Islam telah mewujudkan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) terdiri daripada masyarakat berbilang kaum seperti Kadazan, Dusun, Cina, India, Iban dan sebagainya.

“Malah, Dewan Himpunan Pendukung PAS ini juga setaraf dengan Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat yang dibenarkan memberi pandangan di dalam PAS.

“PAS sangat mementingkan perpaduan kaum, buktinya Kelantan, Terengganu dan Kedah di bawah pentadbiran PAS, masyarakat hidup harmoni, semua kaum dibantu oleh kerajaan negeri termasuk Siam, Orang Asli, Cina, India,” ujarnya.

Tambahnya lagi, baru-baru ini sahaja Kerajaan Negeri Kelantan telah memperuntukkan RM1.88 juta untuk program masyarakat antara kaum dan ia antara bukti PAS tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum.

Sambutan yang turut dihadiri oleh Pengerusi Penaja Dewan Himpunan Pendukung PAS Sandakan, Isaac Wong itu juga didahului dengan majlis minum teh sempena perayaan tersebut.

Sahar dalam majlis berkenaan turut merakamkan ucapan ‘Selamat Menyambut Perayaan Kuih Bulan’ kepada seluruh rakyat Sabah yang meraikannya dan berharap perpaduan rakyat negeri ini akan kekal selamanya. – HARAKAHDAILY 2/10/2020

- Advertisement -