Festival PERMAI: Julang pertanian, harumanis Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Perlis terus melakar sejarah dalam memartabatkan sektor pertanian apabila Festival PERMAI 2025 (Perlis Mango and Agricultural Industry) membuka tirainya dengan penuh warna-warni di Dataran bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis.

- Advertisement -

Program tahunan dijenamakan semula daripada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) serta Festival Mangga Harumanis ini menjadi wadah penting mengangkat martabat pertanian negeri khususnya dalam mempromosikan buah ikon negeri, mangga harumanis.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Dato’ Rahimi Ismail telah merasmikan lawatan tapak festival semalam sambil diiringi oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Negeri, Razali  Saad dengan turut disertai ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan.

Dalam kunjungan tersebut, Dato’ Rahimi melawat pelbagai reruai termasuk Laman Flora, Laman Veterinar, dan Laman Estetika, sambil menyantuni pengunjung dan peserta festival.

Beliau turut menyatakan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor agromakanan serta memperluas pasaran mangga harumanis ke peringkat antarabangsa.

Pelbagai acara menarik berlangsung sepanjang festival tiga hari ini termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak, memasak Chef Cilik, dan gubahan pencuci mulut berasaskan mangga harumanis berlangsung dari 2 hingga 4 Mei, dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Antara acara kemuncak pada hari kedua ialah Pertandingan Ayam Kampung Tercantik dan Pertandingan Pakaian Tercantik Bermotifkan Mangga Harumanis, masing-masing berlangsung pada sebelah petang hari ini, 3 Mei.

Pertandingan ayam kampung menilai kecantikan dan kesihatan ayam secara semula jadi tanpa sebarang pengubahsuaian, manakala pertandingan pakaian pula memerlukan peserta menggayakan busana bertemakan harumanis dengan unsur kreatif seperti warna isi dan mahkota daripada daun harumanis.

Acara pada hari terakhir pula akan diserikan dengan Pertandingan Menyediakan Laksa Utara, melibatkan wakil dari Kedah, Perak, Pulau Pinang dan tuan rumah Perlis sendiri.

Tidak ketinggalan ialah Pertandingan Sukan Rakyat dan persembahan kebudayaan Wayang Kulit Asun yang akan menggamatkan pentas utama festival.

Selain itu, aktiviti lain seperti pengagihan nenas percuma, pameran haiwan ternakan dan petting zoo, jualan produk harumanis, pameran teknologi pertanian serta edaran anak pokok kelapa turut memeriahkan suasana.

Festival ini menjadi bukti nyata bahawa sektor pertanian bukan sahaja menjana ekonomi, bahkan mampu menyatukan masyarakat pelbagai lapisan melalui penganjuran yang menyentuh budaya, makanan, dan warisan negeri.

Ia juga memperkukuhkan imej Perlis sebagai pengeluar eksklusif harumanis negara dan penanda aras pertanian moden berasaskan warisan tempatan.

Penyertaan Festival PERMAI melibatkan pelbagai agensi termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Jabatan Pertanian, Agrobank serta kerjasama jabatan-jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Festival PERMAI 2025 diyakini mampu menjadi pemangkin utama kepada agenda pembangunan pertanian berimpak tinggi di Perlis dan seluruh negara. – HARAKAHDAILY 3/5/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -