KUALA TERENGGANU: Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan Kerajaan Negeri Terengganu untuk mengharamkan sepenuhnya penjualan produk vape mulai 1 Ogos ini.
Ketua Muslimat PAS Terengganu, To’ Puan Zarani Othman menyifatkan ketegasan itu sebagai manifestasi kecaknaan kerajaan terhadap kesihatan rakyat dan kelangsungan generasi muda negeri ini.
Katanya, langkah yang diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah itu adalah tindakan tepat dan wajar dilaksanakan secara menyeluruh.
“Kawalan tegas terhadap penjualan dan penggunaan vape amat wajar dilaksanakan bagi memastikan tiada lagi kes kematian dan ketagihan vape, terutamanya dalam kalangan anak muda dan pelajar.
“Kami menzahirkan rasa bimbang terhadap peningkatan kes berkaitan komplikasi vape, termasuk kes tragis yang berlaku pada 2019 apabila seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dari Labuan menjadi kes pertama kematian.
“(Kes itu) disahkan berpunca daripada komplikasi berkaitan rokok elektronik (vape), seperti dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Sudah tiba masanya dasar ini dilaksanakan secara tegas dan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, fatwa pengharaman vape yang dikeluarkan sejak 2015 dan pelbagai langkah kawalan yang dilaksanakan sejak 2018 menunjukkan kerajaan telah memberi ruang secukupnya kepada pengusaha dan pengguna untuk menyesuaikan diri.
“Penangguhan berterusan hanya akan membuka lebih banyak ruang ketagihan dan kerosakan generasi akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Dewan Muslimat turut menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi Pembangunan Usahawan, Sumber Manusia dan NGO Negeri, Dato’ Ariffin Deraman.
Kerana katanya, menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) di bawah Exco itu telah menyediakan sokongan kepada pengusaha vape untuk beralih ke bidang keusahawanan lain.
“Kami turut merakamkan penghargaan ini kerana proaktif menyediakan bimbingan keusahawanan dan sokongan bagi membantu pengusaha vape mencari sumber pendapatan baharu. Pendekatan ini sangat bertanggungjawab dan patut dicontohi,” ujarnya.
Dewan Muslimat turut memuji ketegasan kerajaan negeri dalam meletakkan kesihatan awam sebagai keutamaan, meskipun dalam suasana ekonomi yang mencabar.
“Dewan Muslimat juga ingin menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu yang berpegang teguh kepada prinsip menjaga nyawa dan kesihatan rakyat, lebih-lebih lagi dalam suasana tekanan ekonomi yang mungkin mendorong sesetengah pihak untuk mengutamakan hasil cukai daripada kesihatan awam.
“Tindakan kerajaan ini jelas membuktikan bahawa kepentingan rakyat mengatasi keuntungan semata-mata,” katanya.
Zarani berkata, pihaknya turut mendoakan agar masyarakat khususnya pengguna vape diberi kekuatan untuk meninggalkan tabiat berisiko tinggi itu dan melangkah ke arah kehidupan yang lebih sihat dan diberkati.
“Kami mendoakan agar semua pengusaha vape dan para pengguna dipermudahkan urusan mereka dalam menjauhi sebarang bentuk kemudaratan dan diberi kekuatan untuk membina kehidupan yang lebih sihat, sejahtera dan diberkati Allah SWT.
“Kesihatan generasi akan datang adalah amanah kita hari ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!