PAS Negeri Melaka ingin menarik perhatian atas insiden yang berlaku di dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka semalam melibatkan Ketua Pembangkang yang juga ADUN Perikatan Nasional Bemban, YB Dr Mohd Yadzil Yaakub.
Dalam insiden tersebut YB Dr Yadzil telah diganggu ucapannya oleh beberapa orang ADUN kerajaan beberapa kali sewaktu beliau sedang berbahas sebagai Ketua Pembangkang.
Beliau dalam ucapannya ketika itu sedang membangkitkan beberapa isu rakyat antaranya berkaitan kedaifan sekolah-sekolah melibatkan institusi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Namun, PAS Negeri Melaka melihat dalam kejadian tersebut telah berlaku sesuatu yang tidak wajar melibatkan isu perjalanan persidangan DUN apabila terdapat gangguan daripada beberapa ADUN Kerajaan sementara YB Speaker DUN pula dilihat cuba menjawab sendiri persoalan yang dibangkitkan YB Dr Yadzil terhadap Exco Kerajaan Negeri.
Ia pelik kerana YB Speaker sewajarnya meminta Exco bagi menjawab persoalan itu dan bukannya beliau seolah-olah bertindak menjawabnya bagi pihak Exco.
Elemen-elemen yang melanggar norma-norma demokrasi berparlimen seperti yang telah berlaku ini tidak boleh diterima sama sekali.
Elemen-elemen tersebut dilihat sebagai satu tindakan menyekat suara pembangkang dari mengemukakan apa saja yang mewakili kemaslahatan rakyat yang mereka wakili dan menyampaikan kerisauan rakyat kepada kerajaan.
Ini semua melanggar norma-norma demokrasi. Pepatah Arab bermaksud ‘Seorang yang tidak memiliki sesuatu pasti tidak berupaya memberi apa yang ia tidak dimiliki’.
Dalam konteks politik, jikalau tradisi politik yang diwarisi adalah politik yang rakus, membohongi rakyat dan mengutamakan kepentingan peribadi atas kepentingan rakyat sudah tentu tidak akan dapat menampilkan sifat demokrat Islam yang sejati.
Apa yang ditunjukkan dalam kejadian di DUN Negeri Melaka ini bagaikan lakonan yang hanya untuk memperdayakan pengundi sudah tentulah tidak bertahan lama.
Itu belum lagi dengan isu wakil-wakil rakyat pembangkang yang tidak diberi peruntukan yang sewajarnya oleh kerajaan bagi membantu rakyat dalam kawasan mereka yang telah menjadi tradisi kerajaan dari dahulu.
Kita sudah berada di tahun 2025 yang sewajarnya kita mempunyai sebuah hubungan matang antara kerajaan dan pembangkang yang saling memahami tanggungjawab dan peranan masing-masing dalam menjadi juzuk-juzuk kepada demokrasi.
Namun, apa yang berlaku menunjukkan bahawa layanan buruk terhadap pembangkang dan menganggap pembangkang bagaikan penjenayah seperti era tradisional masih berlaku walau pun kita sudah berada di abad ke-21 yang serba maju.
AHMAD BILAL RAHUDIN
Ketua Penerangan
PAS Negeri Melaka – HARAKAHDAILY 29/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!