KUALA LUMPUR: Tiada perundangan yang membolehkan Perintah Kawalan Perjalanan (TCO) untuk dikenakan kepada mana-mana individu di negara ini.
Peguam, Datuk Dr Kamilia Ibrahim berkata, ia sebaliknya merupakan satu sudut pentadbiran yang dibuat dengan cara mengeluarkan arahan kepada pihak tertentu.
“TCO ini juga tidak di’publish’, tidak diwartakan. Jadi ia memang merupakan tindakan-tindakan yang hanya mereka yang hendak menguatkuasakan perintah ini sahaja yang tahu.
“Jadi di sini yang kita rasa boleh atau tidak perkara ini dilaksanakan? Adakah ia tidak bertentangan dengan hak asasi manusia, hak asasi untuk bergerak dengan bebas.
“Dan adakah boleh kuasa ini digunakan sewenang-wenangnya? Sebab dia tidak ada apa-apa sekatan yang kita dapat yang kita lihat di sini, dan perkara ini telah pun lama dipersoalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas penyerahan memorandum bagi membantah TCO yang dikenakan terhadap Menteri Besar (MB) Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Serahan berkenaan dilakukan Setiausaha Politik MB Terengganu, Mohd Soud Said kepada Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus, di sini semalam.
Memorandum berkenaan antara lainnya menyatakan bahawa TCO itu telah melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan (kebebasan diri) dan Perkara 12 Hak Asasi Manusia yang melarang sebarang gangguan sewenang-wenangnya terhadap privasi.
Selain pelanggaran terhadap Prinsip Keadilan Asasi, di mana pemantauan rahsia yang menafikan hak untuk didengar dan meletakkan kuasa yang tidak diawasi sepenuhnya di tangan pihak eksekutif. – HARAKAHDAILY 22/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!