Hadapi banjir dengan persediaan dan waspada

- Advertisement -

LARUT: Menghadapi musim hujan lebat yang memungkinkan paras air meningkat dan menyebabkan banjir serta risiko berkaitan mestilah disertakan dengan langkah persediaan dan berhati-hati berhadapan sebarang kemungkinan.

- Advertisement -

Pengerusi Khidmat Malaysia Perak, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib menasihati demikian mengulas perkembangan banjir di sini yang menjejaskan lebih 600 kediaman di Larut dan Bagan Serai sahaja tidak termasuk kawasan lain.

“Pastikan dokumen penting berada dalam keadaan selamat, simpan bekalan makanan dan air bersih serta bekalan ubat yang mencukupi. Begitu juga barang-barang keperluan utama keluarga seperti susu, lampin dan sebagainya disimpan ditempat yang selamat.

“Andai berlaku banjir, atau paras air meningkat, segera pindah ke pusat penempatan mangsa banjir apabila diarahkan berbuat demikian dan seeloknya pindah pada siang hari dan sebelum keadaan banjir menjadi lebih teruk,” tegas beliau.

Menurutnya, dalam keadaan luar jangkaan seperti ini memerlukan ibu bapa khususnya mengambil langkah paling selamat dan mengutamakan keselamatan semua pihak yang berada di bawah tanggungjawabnya.

Menurut Muhammad Ismi lagi, perkara paling penting jika air sudah mula naik juga adalah mematikan semua suis elektrik dan tidak menggunakan sebarang perkakas elektrik, selain mengawal ahli keluarga supaya tidak keluar atau bermain di luar rumah.

“Pulang ke rumah jika dibenarkan, periksa terlebih dahulu keselamatan rumah untuk didiami dan dapatkan bantuan segera jika perlu.

“Ambil berat perkembangan semasa. Malang itu tidak berbau, namun menjadi tanggungjawab setiap individu untuk sentiasa mengambil langkah berwaspada dan bersedia menghadapi segala kemungkinan,” ujar beliau lagi.

Beliau turut menyeru orang ramai agar banyakkan berdoa, semoga hujan yang lebat ini membawa rahmat daripada Allah S.W.T dan bukan sebaliknya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, mengulas mengenai musibah banjir selepas operasi menyampaikan sumbangan kepada lebih 400 keluarga yang terjejas.

Beliau juga melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir terjejas di kawasan Bagan Serai dan Larut, semalam.

Turut serta dalam operasi tersebut adalah ADUN Semanggol, Razman Zakaria dan ADUN Selama, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin serta Pengarah Pilihan Raya PAS Perak, Ustaz Mustafa Abdul Wahab. – HARAKAHDAILY 30/11/2020

- Advertisement -