Tawar dua tarikan baru sempena Tahun Melawat TTI

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Taman Tamadun Islam (TTI) bakal tampil dengan wajah dan tarikan baharu sepanjang Tahun Melawat TTI 2025, menerusi beberapa inisiatif pembaharuan serta produk pelancongan yang sedang dirancang dan dilaksanakan.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Datuk Wan Adnan Wan Derahman berkata, beberapa projek naik taraf sedang dijalankan termasuk membaik pulih monumen di kawasan taman tersebut.

“Setakat ini, dua monumen telah siap dibaik pulih dan beberapa lagi sedang dalam proses. Semua ini melibatkan peruntukan daripada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Logo Sambutan 60 Tahun Penubuhan PMINT di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini hari ini.

Menurut beliau, satu produk pelancongan baharu hasil kerjasama dengan sebuah syarikat swasta turut akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Katanya, produk tersebut akan dijalankan khusus pada waktu malam dan menampilkan elemen pencahayaan serta bunyi yang menarik.

“Saya pasti akan dikunjungi oleh ramai pengunjung pengunjung sama ada daripada Terengganu atau di luar.

“Aktiviti ini akan berlangsung pada waktu malam sahaja sebab (menggunakan) pencahayaan dan bunyi, jadi insya-Allah jadi satu tarikan baharu dan juga akan datang di TTI Insya-Allah.

“Buat masa ini, butiran lanjut belum dapat diumumkan. Kita akan adakan pelancaran khas bersama media apabila semuanya bersedia,” tambahnya.

Selain itu, satu lagi tarikan baharu yang bakal diperkenalkan ialah Galeri Maritim yang akan menempatkan pelbagai artifak asli hasil penemuan dari kapal pecah di perairan Terengganu.

“Insya-Allah dalam tempoh tahun lagi akan ada satu lagi produk iaitu berkait dengan Galeri Maritim yang mana produk asli daripada penemuan daripada kapal pecah di negeri Terengganu akan di akan dipamerkan di galeri ini. Galeri Maritim ini akan berada di sebelah pintu masuk Taman monumen.

“Kita sudah peruntukkan satu kawasan dan  persetujui di peringkat jawatankuasa di bawah exco dan pemimpin memperuntukkan sejumlah wang untuk menyediakan galeri ini, insya-Allah dua produk baru ini akan menjadi tarikan kepada pengunjung,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!