IPOH: Persidangan Dewan Negeri Perak selama enam hari dan berakhir hari ini menyaksikan Perikatan Nasional (PN) terus menjadi suara rakyat yang tegas dan bertanggungjawab dalam membangkitkan isu-isu kritikal negeri.
Ketua Pembangkang, Razman Zakaria berkata, semua Ahli Dewan Negeri (ADN) di blok pembangkang telah memanfaatkan ruang persidangan dengan perbahasan yang matang, berhemah dan rasional melibatkan lebih 160 isu dibawa serta 208 soalan dikemukakan.
Menurutnya, antara isu utama yang disentuh termasuklah kos sara hidup, kesihatan awam, keselamatan, kebajikan rakyat, integriti pentadbiran, serta dasar-dasar pembangunan seperti pelaburan, perindustrian, ekonomi, perlombongan dan pendidikan teknikal (TVET).
Namun beliau melahirkan rasa kecewa apabila beberapa isu rakyat yang telah dibangkitkan secara berulang kali masih tidak diselesaikan, malah tidak dijawab secara tuntas oleh pihak kerajaan.
“Ada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang langsung tidak menjawab isu yang dibangkitkan dalam penggulungan. Ada ADN pembangkang yang telah menghantar soalan lisan, namun soalan mereka tidak pernah naik untuk dijawab oleh YB EXCO,” ujarnya.
Isu setempat di Ayer Kuning juga ujarnya, menjadi perhatian apabila pembangkang menegur kegagalan kerajaan menyelesaikan masalah yang sudah lama berlarutan.
Antara isu berbangkit adalah seperti operasi ladang babi tidak berlesen, paip pecah di Taman Bunga Raya Tapah, serta penggunaan jentera kerajaan untuk kempen pilihan raya.
“Kami lihat masih tiada jawapan serius dan tuntas daripada pihak kerajaan mengenai perkara ini,” katanya yang juga ADN Gunung Semanggol.
Selain itu, pembangkang turut membangkitkan isu perlantikan 26 Pegawai Khas Menteri Besar yang dikatakan membelanjakan hampir RM3 juta wang rakyat, namun sehingga kini tiada penjelasan diberikan mengenai bidang kuasa mereka.
“Kami menggesa kerajaan negeri lebih proaktif dalam menangani isu rakyat dan tidak terus bersembunyi di sebalik birokrasi. Jangan sisihkan peranan sah Ahli Dewan Negeri yang dipilih rakyat dengan memberikan keutamaan kepada lantikan politik,” tegasnya.
Dalam kenyataan itu juga, pembangkang menyatakan sokongan padu terhadap calon mereka di N.48 Ayer Kuning, Ustaz Abdul Muhaimin Malek dan berharap beliau akan menyertai Sidang DUN Perak sebagai wakil rakyat yang sah pada masa akan datang.
“Kami doakan kejayaan beliau. Insya-Allah, beliau akan menjadi suara rakyat yang lantang dan berprinsip di dalam dewan,” tambah Razman. – HARAKAHDAILY 22/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!