TAPAH: Kehadiran calon PERIKATAN NASIONAL (PN) PRK N.48 DUN Ayer Kuning, Ustaz Abdul Muhaimin Malek di majlis hari raya anjuran Surau at Taqwa Taman Permai mendapat sambutan menggalakkan.
Ustaz Muhaimin diiringi Ahli Parlimen Parit Buntar, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki ke majlis tersebut yang dianjurkan setiap tahun di surau itu yang dilangsungkan di sini, semalam.
Pengerusi Surau itu, Bajeri Ismail, 53 berkata, Ustaz Muhaimin adalah sahabat beliau yang mempunyai pendidikan dan tauliah.
“(Ustaz Muhaimin adalah) sahabat saya seorang yang berpendidikan, berpendidikan dari segi ilmu. Dia pun ada tauliah mengajar di mana-mana surau, masjid dan dia memang seorang yang layak dicalonkan dari parti PERIKATAN NASIONAL.
“Kemudian daripada segi kewibawaan dan dia orang muda pula itu kan pemikiran yang cerdas. Itulah pandangan saya kan. Dan beliau dilihat sebagai mampu untuk memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat di Ayer Kuning,” katanya ketika ditemui Harakahdaily.
Sementara itu, Muhammad Amirun Aiman Jasmi, 24 berkata, beliau mengharapkan calon daripada PERIKATAN NASIONAL agar dapat berkhidmat lebih baik daripada wakil rakyat DUN Ayer Kuning sebelum ini.
“Harap okeylah kan daripada sebelum-sebelum ni, dapat ‘improve’ apa yang patut apa semualah. Kalau boleh ‘area’ sini (ada masalah) anjing, kena kejar apa semua (jadi mangsa),” harapnya kepada Ustaz Muhaimin sekiranya diberikan mandat.
Selain itu, penduduk Taman Sri Bidor, Mohd Ali Saad, 70, berkata Ustaz Muhaimin adalah orang yang dikenali ramai di kawasannya.
“Orang dah terkenal kawasan sini. Dia memang dah biasa mengajar di masjid kan. Semua orang kenal,” katanya.

Reaksi seumpama terhadap Ustaz Muhaimin juga diberikan para pengunjung yang ditemui di Pasar Awam Tapah, di sini ketika kunjungan calon tersebut pada petang kelmarin.
Peniaga jagung rebus, Asrul Jahya, 35, berharap pengundi di DUN berkenaan dapat memberikan peluang kepada Ustaz Muhaimin untuk menjadi wakil rakyat di Ayer Kuning.
“Walaupun saya tidak mengenali beliau secara peribadi, tetapi saya percaya beliau merupakan calon terbaik yang ada dalam PRK pada kali ini. Saya mendoakan semoga beliau berjaya dalam pilihan raya ini,” katanya.
Sementara itu, peniaga pau kukus, Azah Ibrahim, 55, berharap agar Ustaz Muhaimin akan membawa perubahan di Ayer Kuning sekiranya memenangi PRK tersebut.
“Calon ini memang kita kenal sebab dia merupakan guru agama, ada beberapa anak buah saya yang belajar dengan dia di surau-surau dan masjid-masjid sekitar sini.
“Jadi ini merupakan calon yang terbaiklah bagi kami di sini, pilihan masyarakat setempat. Saya berharap dia dapat membawa perubahan khususnya dalam bidang keagamaan,” katanya.
Ustaz Muhaimin meluangkan masa kira-kira 30 minit menyantuni para pengunjung sambil diiringi Ahli Parlimen Parit Buntar, Misbahul Munir Masduki dan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman. – HARAKAHDAILY 21/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!