Judi: Industri dosa yang mesti dibanteras – MGPHK

- Advertisement -

ALOR SETAR: Judi merupakan salah satu sektor yang boleh dikategorikan sebagai ‘industri dosa’ atau ‘ekonomi gelap’ di mana sepatutnya dihapuskan secara beransur-ansur di peringkat nasional mahupun negeri.

- Advertisement -

Pengerusi Majlis Guru Pondok HESA Kedah (MGPHK), Tuan Guru Dato’ Abdulllah Lebai Samah menegaskan demikian dalam mengulas isu berkaitan pembatalan arahan penutupan premis judi di negeri ini.

Katanya, tindakan Kerajaan Negeri Kedah tidak mengeluarkan lagi lesen premis judi yang bermula pada 1 Januari tahun lalu, merupakan langkah yang tepat, sekali gus menjadikan negeri itu bebas judi wajar disokong serta dipertahankan.

“Tetapi kita dikejutkan dengan keputusan mahkamah yang membatalkan keputusan kerajaan negeri berikutan tindakan undang-undang beberapa pemilik premis judi terhadap peraturan tersebut.

“Sedangkan judi merupakan industri dosa atau ekonomi gelap yang perlu dibanteras serta dihentikan sama ada berlesen mahupun tidak berlesen,” jelasnya.

Katanya lagi, judi mengikut Kamus Dewan Perdana, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membawa makna ‘permainan dengan mempertaruhkan wang, perempuan dan sebagainya’.

“Konsep pertaruhan yang ada dalam judi meletakkan kepercayaan kepada nasib. Kepercayaan ini bimbang akan menyebabkan ketirisan akidah khususnya di kalangan masyarakat awam.

“Islam adalah agama yang menyuruh manusia agar hidup berikhtiar dan berusaha. Bukan dengan menunggu nasib untung atau rugi melalui pertaruhan, yang hakikatnya lebih banyak rugi berbanding untungnya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, merujuk kajian Dr Timothy W. Fong yang bertajuk ‘The Biopsychosocial Consequences of Pathological Gambling’, judi boleh menyebabkan ketagihan dari sudut mental dan fizikal termasuk memberi kesan kepada tekanan jiwa yang boleh membawa pelbagai implikasi buruk.

Antaranya, darah tinggi, kurang tidur, penyakit kardiovaskular, penyakit ulser peptik, kemurungan, anxiety disorder dan seterusnya membawa kepada gangguan otak.

“Malah di dalam Al-Quran Nur-Karim surah al-Baqarah ayat 219, jelas mengingatkan umat Islam akan bahaya arak dan judi, di mana kedua-duanya adalah dosa besar dan walaupun terdapat beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya,” pesan beliau.

Selain itu, Tuan Guru Abdullah juga mengingatkan umat Islam akan pesanan Nabi Muhammad SAW agar menghindari diri daripada kemudaratan selain tidak membalas kemudaratan dengan kemudaratan.

“Oleh itu menjadi tanggungjawab pemerintah untuk menyekat segala perkara yang memudaratkan dan berusaha sedaya upaya untuk menghentikan industri dosa seperti judi dan arak,” tambahnya.

Berikutan itu beliau menyeru kepada seluruh umat Islam tanpa mengira latar belakang politik, mazhab dan aliran, untuk sama-sama mendokong hasrat murni Kerajaan Negeri Kedah di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, agar kemungkaran ini dapat dihentikan. – HARAKAHDAILY 11/7/2024

- Advertisement -